Tuesday, July 10, 2012

Dr - Mahathir - Ubah pemikiran untuk jadi maju

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ubahpemikiranuntukjadimaju/Article/index_html

Published: on 10 July 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

MALAYSIA mampu untuk sekurang-kurangnya setanding dengan negara maju, asalkan sanggup menukar corak pemikiran dan menerapkan nilai hidup bersesuaian dengan kemajuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tanpa corak pemikiran yang betul dan positif, sukar untuk Malaysia berkembang serta menjadi negara maju.

“Penting untuk mengubah cara berfikir kerana jika kita ingin mencapai kemajuan, amat perlu untuk kita memegang nilai hidup yang sesuai dengan kemajuan seperti yang dibuktikan beberapa negara timur. Kita tidak perlu menukar bahasa, tetapi nilai hidup boleh kita tukar.

“Saya tidak tahu sama ada kita mampu menjadi lebih baik daripada negara Barat, tapi kita berpotensi untuk menjadi negara maju mengikut acuan kita,” katanya kepada Bisnes Metro selepas menyampaikan ucaptama di Forum Pembangunan Antarabangsa 2012 anjuran SME Bank dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Negara Anggota Bank Pembangunan Islam (Adfimi) di Kuala Lumpur.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, beberapa negara timur yang dulunya berdepan pelbagai masalah antaranya peperangan dan kemiskinan serta ada yang dianggap mundur, membuktikan kepada dunia mereka bukan saja mampu bersaing, malah mengatasi kemajuan negara barat.

“Di timur, negara seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China yang dulunya berdepan kehancuran akibat peperangan berjaya mengejar negara barat. Kita percaya, mereka mempunyai dan sudah melakukan sesuatu untuk sampai ke tahap sekarang.


“Jepun contohnya adalah satu-satunya negara yang masyarakatnya sanggup membunuh diri jika dimalukan. Tradisi ini menjadi motivasi untuk mereka mengejar negara barat,” katanya.

Beliau berkata, bagi konteks negara ini, disebabkan pernah dijajah kuasa asing lebih 400 tahun, masyarakat sebelum ini seakan-akan sudah sebati dan menerima corak pemikiran bahawa mustahil untuk berkembang serta bersaing dengan negara maju.

“Sebab itu kita memperkenalkan slogan Malaysia Boleh. Kita terapkan dalam pemikiran masyarakat, jika orang lain boleh, mengapa tidak kita sedangkan kita juga mampu,” katanya.

No comments: