Thursday, July 26, 2012

1Azam bantu usahawan desa

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20120726/wb_01/1Azam-bantu-usahawan-desa

Published: July 26, 2012
Oleh ABDUL RASHID
ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

RAHMAHJAN Sulaiman Khan (depan, empat dari kiri) dan Datuk Raime Unggi 
(tujuh dari kiri) bersama 75 wanita yang menerima bantuan 1Azam di Dewan 
Masyarakat Antanom, Tenom, baru-baru ini.

TENOM 25 Julai - Kehilangan suami yang menjadi ketua keluarga lebih 10 tahun lalu merupakan detik paling sukar dalam hidup Manisah Manis Laipeh, 54.

Sebagai seorang ibu, dia tetap tabah. Dengan kudrat yang ada dia terus melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk menjahit pakaian bagi membesarkan enam anaknya.

Meskipun usaha tersebut mendapat sambutan baik, kekurangan peralatan jahitan pula menjadi masalah utama yang menyebabkan dia hanya mampu menerima tempahan terhad.

Namun program Bantuan 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang dilaksanakan oleh kerajaan, akhirnya berjaya merungkai masalah Manisah dan merealisasikan impiannya untuk memiliki peralatan menjahit serba moden dan lengkap.

Melalui program itu, Manisah menerima peralatan jahitan termasuk mesin jahit moden yang disampaikan oleh Ketua Wanita UMNO Tenom, Datin Rahmahjan Sulaiman Khan di sini baru-baru ini.

Manisah berkata, sudah lama dia mengimpikan untuk memiliki mesin jahit moden dan peralatan menjahit bagi meningkatkan pendapatannya.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana dipilih menerima anugerah yang amat bermakna bagi kami sekeluarga.

"Jika tidak kerana bantuan ini adalah mustahil bagi saya untuk membeli peralatan seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, Ermah Chew, 25, yang menerima sumbangan peralatan dapur berkata, peralatan memasak itu akan digunakan sebaik mungkin bagi mengembangkan lagi perniagaan makanannya.

Dia yang mempunyai gerai makanan di Kampung Kemabong di sini berkata, pemberian sumbangan berkenaan telah memberi semangat kepadanya untuk terus bekerja keras.

"Peralatan dapur yang lengkap ini amat penting untuk saya terus mengembangkan lagi perniagaan makanan yang saya usahakan sejak 2005.

"Jadi dengan bantuan ini saya yakin akan dapat meningkatkan lagi pendapatan dari masa ke semasa," katanya yang tinggal bersama dengan ibunya.

Sementara itu, Sulinah Murin, 38, berkata, sumbangan set peralatan membuat burger yang diterimanya akan dapat mempelbagaikan lagi perniagaan makanan.

Katanya, selain mampu meningkatkan pendapatan, peralatan berkenaan akan digunakan bagi menyuntik semangat anak-anaknya untuk sama-sama berniaga.

No comments: