Thursday, July 12, 2012

Peluang PKS sertai GE Energy

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeluangPKSsertaiGEEnergy/Article

Published: July 12, 2012

SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang menyertai kegiatan pemerolehan serantau GE Energy yang bernilai AS$250 juta (kira-kira RM785 juta) dalam sektor minyak dan gas tahun ini.

Tinjau pasaran ASEAN Eksekutif Negara GE Energy, Pahmi Mokhtar, berkata syarikat itu sedang giat meninjau potensi pasaran ASEAN termasuk Malaysia untuk mencungkil kepakaran dan pengetahuan syarikat PKS tempatan dalam sektor berkenaan.

“Di ASEAN sebanyak US$250 juta setahun diperuntukkan untuk pemerolehan sektor minyak dan gas.

“Di Malaysia, kami baru saja bermula. Sebelum ini kami sudah pun melaksanakannya sedikit untuk menyokong kontrak kami di dalam negara.

“Bagaimanapun, apa yang kami perkatakan hari ini agak berbeza. Ia lebih kepada pemerolehan serantau dan saya fikir kami melihat Malaysia sebagai satu daripada pembekal kami,” kata beliau selepas merasmikan seminar peluang perniagaan dalam minyak dan gas dengan GE Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Seminar anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu turut dihadiri Ketua Eksekutifnya, Dr Wong Lai Sum.

Mengenai saiz pemerolehan yang PKS Malaysia boleh ceburi, Pahmi berkata: “Kami perlu lihat dulu. Kami baru saja mulakan tinjauan ke rantau ini dengan lebih rapat.”

Sementara itu, Wong berkata, seminar itu pertama di bawah Program Penyumberan Global MATRADE tahun ini. Ia membabitkan syarikat multinasional global yang mengadakan pertemuan dengan PKS tempatan untuk berkongsi keperluan industri terbaru dan pada masa yang sama meninjau potensi kerjasama.

“Saya berharap menerusi seminar ini, ia akan membuka lebih banyak pintu kepada syarikat Malaysia yang berpotensi menjadi rakan niaga jangka panjang dengan GE,” katanya sambil menambah tidak banyak syarikat Malaysia sedar mengenai peluang yang ditawarkan oleh syarikat itu.

Justeru, beliau menegaskan, sesi berkenaan akan menyediakan maklumat kepada syarikat Malaysia mengenai dasar menyediakan bahan smengenai projek minyak dan gas yang disediakan oleh GE.

Selain minyak dan gas, Wong berkata, MATRADE akan menganjurkan sembilan lagi sesi sama di bawah Program Penyumberan Global tahun ini, membabitkan syarikat global yang terbabit dalam pelbagai sektor berlainan termasuk elektrik dan elektronik.

“Ini sebahagian strategi MATRADE membantu syarikat Malaysia mendapat pengiktirafan daripada pasaran global, terutama syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pasaran global, katanya. - BERNAMA

No comments: