Wednesday, October 24, 2012

Kerajaan Timbang Sokong Francaisi Induk Tempatan Berkembang Di Asia Tenggara

PETALING JAYA, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang memberikan sokongan yang sewajarnya kepada francaisi induk tempatan untuk memfrancaiskan produk antarabangsa di wilayah ASEAN yang dibenarkan atau negara-negara di Asia Tenggara.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=704344
Published: October 24, 2012

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata syarikat jenama asing tersebut haruslah merupakan perniagaan yang berinovasi dan berteknologi tinggi serta ibu pejabat urusan dikekalkan di Malaysia.

"Kerajaan mengalu-alukan francaisi induk tempatan memperoleh hak kewilayahan francais asing bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara atau ASEAN untuk mengembangkan rantau ini.

"Trend ini juga akan menyokong hasrat kerajaan membangunkan Malaysia sebagai francais Asia Tenggara menjelang tahun 2020," beliau berkata pada malam Anugerah Francais Malaysia 2012 di sini, Selasa.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan kemasukan jenama asing yang berinovasi dan terbukti berjaya ke pasaran tempatan dan sehingga kini, 61 sistem francais asing telah dibawa masuk dan didaftarkan oleh francaisi induk tempatan.

"Jenama asing, di mana hak francais induk yang telah diberikan kepada francaisi induk tempatan, akan memberi usahawan tempatan lebih pilihan untuk melabur dalam perniagaan francais yang terbukti berjaya walaupun asing.

"Ini bukan sahaja akan menentukan kemasukan teknologi dan inovasi baru untuk meningkatkan kualiti perniagaan, malah akan menentukan pelaburan domestik negara dapat ditingkatkan," katanya.

Ismail juga menggalakkan model dan strategi perniagaan serta sistem operasi dikaji semula secara berterusan untuk ditambah baik dan mengutamakan pembangunan modal insan bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

"Perniagaan, walaupun berskala besar atau mikro memerlukan keprihatinan dan penelitian yang rapi dan perniagaan francais tidak dikecualikan dari kenyataan ini.

"Oleh itu, saya menyeru usahawan francais supaya mengadakan perancangan strategik dengan menilai suasana perdagangan terkini serta melakukan ramalan bagi menangani cabaran di luar jangkaan," katanya.

Majlis anugerah itu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penaung Persatuan Francais Malaysia.

-- BERNAMA

No comments: