BEIJING, 25 Okt (Bernama) -- Ekspo Produk dan Kebudayaan Malaysia yang
akan berlangsung selama tujuh hari, bermula Khamis, dijangka meraih
jualan melebihi satu juta yuan (RM487,577), sekali gus menyaksikan
pertumbuhan dua digit berbanding tahun lepas.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=704841
Published: October 26, 2012
Ketua Pegawai Eksekutif Parkson Retail Group Ltd, Tan Hun Meng berkata
produk durian beku masih lagi menjadi produk utama yang dipromosikan
kerana jualannya telah mencecah 400,000 yuan (RM195,030) pada ekspo
sebelumnya.
"Kami yakin yang jualan durian di ekspo ini akan melepasi jumlah itu.
"Parkson berhasrat menjual 2000 peket durian beku di ekspo berkenaan," kata beliau kepada Bernama di sini pada Khamis.
Ketua Pegawai operasi Parkson Retail, Low Kim Tuan berkata ekspo itu
dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung setiap hari, iaitu antara dua
dan tiga kali lebih tinggi berbanding ekspo sebelumnya.
Ekspo itu dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar
Malaysia pejabat Beijing dan Beijing Fuxingmen Parkson Store.
Ia juga bertujuan mempromosikan restoran dan kuisin Malaysia di bawah
program Dapur Malaysia, makanan dan minuman serta pelancongan dan
pertanian di China.
Kempen "188 Yuan Eat All You Can Durian Buffet" turut diadakan.
"Rasa durian tidaklah setakut yang saya bayangkan. Mungkin ini ialah
yang beku, jadi, bila makan, rasa macam makan aiskrim," kata pengarah
jualan, James Cao, dalam cubaan pertamanya merasa keenakan durian.
Pengurus Pemasaran Airasia China, Maggie Ma, yang baru pertama kali
merasa durian berkata, beliau boleh menerimanya walaupun aroma baunya
amat kuat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment