Wednesday, October 10, 2012

AN Sports jual produk bawah RM100

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121010/ko_02/AN-Sports-jual-produk-bawah-RM100

Published: October 10, 2012

Kamal Haris Abd. Wahab (kiri) dan Pengurus Projek Al-Ikhsan, 
Rozaimy Abd. Karim menunjukkan sebahagian produk di kedai 
AN Sports yang dibuka di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, baru-baru ini. 
 
SUNGAI PETANI 9 Okt. - AN Sports Sdn. Bhd. (AN Sports), anak syarikat pengedar barangan sukan kumpulan Al-Ikhsan memperkenalkan kedai khusus yang menawarkan barangan pada harga bawah RM100 dengan pembukaan premis pertamanya di Jalan Seroja 3/5, Bandar Aman Jaya, Sungai Lalang dekat sini.

Pengenalan kedai khas dengan jenama AN Sports itu bertujuan memenuhi keperluan pengguna terutama golongan berpendapatan sederhana dengan tawaran harga produk mampu milik.
Pengurus Besarnya, Kamal Haris Abd. Wahab berkata, konsep yang baru diperkenalkan itu juga bertujuan menggalakkan rakyat segenap lapisan memiliki peralatan sukan.

"Justeru, AN Sports merupakan satu pilihan baru bagi pengguna memiliki barangan sukan yang terbaik dan dalam harga berpatutan serta pada masa sama mementingkan jenama tulen.
"Premis AN Sports menawarkan jualan barangan sukan berjenama dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada kasut, baju dan alat sukan sementara 40 peratus lagi produk sandal," katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan premis pertamanya, baru-baru ini

Kamal Haris memberitahu, antara jenama barangan yang dijual di outlet berkenaan adalah Kronos, Line 7, Ador, Figos, Topper dan Admiral.
"Selain itu, pihak kami turut mempromosikan produk tersendiri dengan jenama AL Brand yang kini semakin mendapat sambutan daripada pelanggan. Apa yang lebih penting ialah, semua produk dijamin tulen," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, AN Sports menyasarkan untuk membuka lima lagi outlet di kawasan utara menjelang penghujung tahun ini dan 25 outlet di seluruh negara menjelang tahun hadapan.
"Pemilihan lokasi AN Sports akan dibuat dengan mengambil kira kawasan luar bandar dan ia bertujuan memudahkan penduduk setempat tidak perlu pergi jauh ke bandar untuk membeli barangan sukan.
"Sasaran utama jualan adalah kepada pasaran mahasiswa, pelajar sekolah dan penduduk setempat," katanya.

Ditanya mengenai kewujudan AN Sports yang mungkin dilihat sebagai saingan terhadap Al-Ikhsan, Kamal Haris menjelaskan, AN Sports menyasarkan segmen pasaran berlainan.
"Ini merupakan pilihan kepada pengguna kerana jika inginkan produk yang berjenama utama mereka perlu ke Al-Ikhsan.
"Produk yang dijual di Al-Ikhsan tidak didapati di AN Sports dan sebaliknya," katanya.

No comments: