Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121015/ek_05/GLC-perlu-utamakan-kepentingan-rakyat
Published: October 15, 2012
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
menyeru syarikat milik kerajaan (GLC) menilai semula tahap Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) masing-masing sejajar dengan peranan mereka dalam
membantu membangunkan ekonomi bumiputera negara ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu penting
kerana peranan GLC dilihat semakin tersasar apabila lebih menumpukan
kepada aspek keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan agenda utama
mereka dalam memenuhi hati rakyat.
Mandat utama GLC meliputi pembangunan modal insan dan masyarakat
bumiputera. Malangnya, ketika ini ada antaranya yang gagal memenuhi
peranan itu dan sekali gus membunuh hasrat kerajaan untuk melahirkan
bumiputera yang lebih mahir dan berdaya saing.
Oleh itu, kita menyeru kerajaan dan juga peneraju GLC segera menilai
semula KPI mereka bagi memastikan tahap perkhidmatan dan kualiti yang
lebih tinggi untuk pelanggan terutama usahawan bumiputera baharu,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan tajuk Gagalkah GLC dan
agensi pelaksana membantu memajukan ekonomi bumiputera? dalam Forum
Pengguna 2012 Masalah tak pernah selesai, pengguna merana di sini
semalam.
Ahli panel termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat PPIM, Tunku Azwil
Tunku Abdul Razak serta Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Universiti
Multimedia, Abdul Halim Abdul Hamid.
Tambah Nadzim, bagi memastikan kejayaan KPI baharu itu, GLC turut
digalakkan untuk menyediakan latihan dan bimbingan kepada usahawan
bumiputera sehingga berjaya.
Mereka memerlukan bimbingan serta panduan dalam membentuk hala tuju
perniagaan masing-masing. Saya berharap GLC bersama-sama memantau
perkembangannya sebagai salah satu cara meningkatkan tahap KPI syarikat
masing-masing," kata beliau.
Jelasnya, sehingga kini PPIM menerima lebih 100 aduan daripada
pengguna berhubung kelemahan pentadbiran GLC terutamanya kerenah
birokrasi.
No comments:
Post a Comment