Published: October 11, 2012
Syuhada Choo Abdullah dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga langkah yang harus dilaksana bagi memastikan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenal pada 1982, terus mencatat kejayaan untuk 30 tahun lagi.
Langkah itu ialah meningkatkan kegunaan pemerolehan kemahiran, pengetahuan dan nilai yang menjadi paksi kejayaan dasar berkenaan dengan memperluas jaringan kerjasama terutama melalui penyertaan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kerjasama strategik ini akan menyumbang ke arah peralihan kita kepada ekonomi berasaskan inovasi dan pengetahuan, sekali gus membantu mengukuhkan tulang belakang ekonomi kita,” katanya menyampaikan ucaptama pada persidangan ‘Dasar Pandang Ke Timur - Satu Dimensi Baru’ dan Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) Ke-31 di sini, semalam.
Sasaran lebih khusus
Seterusnya, Najib berkata, Dasar Pandang Ke Timur harus ada sasaran lebih khusus dan berkait rapat dengan hasil spesifik, seperti jenis kemahiran yang ingin diperoleh, bidang dan peringkat terbabit.
Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), katanya, Malaysia bergerak ke industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi tinggi dengan tumpuan kepada industri berkaitan pengurusan alam sekitar, penjimatan tenaga serta teknologi hijau.
“Kita sudah mengenal pasti prospek pertumbuhan dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan. Ini adalah beberapa indikator keutamaan kita pada tahun akan datang. Justeru, kita perlu membina program Pandang Ke Timur yang menangani keperluan bidang utama di bawah program ETP,” katanya.
Selain itu, Najib berkata, usaha tidak harus bertumpu kepada melahirkan graduan berkualiti dan diperlukan pasaran kerja, tetapi juga institusi lebih kukuh untuk menjadi kunci kepada perkongsian yang benar-benar berkekalan.
Sambut baik MJIIT
Dalam konteks ini, beliau gembira dengan penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) yang menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kejuruteraan bagi ASEAN.
“Ia akan menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun melabur di Malaysia.
“Saya secara jujur berharap ia juga akan mendorong lebih banyak universiti Jepun menubuhkan kampus cawangan di sini,” katanya.
Najib percaya tiga perubahan itu akan adil kepada semangat asal pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur iaitu mewujudkan kerjasama yang luas, berkesan dan berpanjangan, secara langsung memanfaatkan rakyat, industri serta ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment