BEIJING, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan China Selasa melancarkan Musim
Pembelian Global 2012-2013, satu program yang akan membuka satu platform
peluang bagi jenama, produk dan perkhidmatan Malaysia untuk meneroka
pasaran China.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=705741
Published: October 31, 2012
Program Musim Pembelian Global itu yang akan memperkenal produk Malaysia
melalui tujuh pusat serta cawangan-cawangan jualan runcit terpilih di
negara ini, bertujuan memperluas import dan penggunaan serta menampung
permintaan yang semakin meningkat di negara ini semasa Perayaan Musim
Bunga 2013.
Memandangkan kompleksnya peraturan China, inisiatif yang diilhamkan oleh
Kementerian Perdagangan China ini akan membantu mempermudah penembusan
jenama Malaysia ke pasaran China, kata Pesuruhjaya Perdagangan Kanan
merangkap Kaunselor Komersil MATRADE Abu Bakar Yusof, kepada Bernama.
Program itu bukan sahaja akan membantu syarikat-syarikat Malaysia
membangunkan saluran pengedaran di China, malah juga mendapatkan
pengedar dan pengguna tempatan bagi mereka, katanya.
Abu Bakar berkata fasa pertama Musim Pembelian Global akan memberikan
tumpuan kepada makanan dan minuman (F&B), dan diikuti oleh Barangan
Pengguna Cepat Laris yang lain, serta perkhidmatan.
"Setakat ini, 99 jenama telah dikenal pasti, 69 atau kira-kira 60
peratus daripadanya adalah produk F&B, manakala selebihnya terdiri
daripada perabot rumah, barangan elektrik isi rumah dsb.
"Bilangan ini akan ditambah dari semasa ke semasa, tetapi antara jenama
yang dikenal pasti, China akan memilih yang dianggap produk berprospek
cerah."
Abu Bakar berkata selepas pemilihan dibuat melalui perundingan antara
Pusat Pengurusan Jenama Antarabangsa Persatuan Perdagangan Antarabangsa
China (IBMC- CAIT) dan MATRADE, IBMC-CAIT akan mengadakan lawatan
pembelian ke Malaysia bulan depan.
Mereka kemudian akan menemui pemilik jenama dan produk terpilih itu, dan
menentukan sampel produk yang akan dihantar ke tujuh Pusat Pembelian
Global (GPC) di China, katanya.
MATRADE menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IBMC-CAIT pada September tahun ini.
Di bawah persetujuan itu, jenama Malaysia akan diperkenal melalui tujuh
GPC di tujuh bandar raya di China, iaitu Beijing, Shenyang, Wuhan,
Guangzhou, Zhangjiagang, Chengdu dan Chongqing.
Produk-produk itu juga akan diperkenal melalui lebih 100 cawangan jualan runcit di China.
China akan juga membantu dalam pengembangan perkongsian dengan
pengimport dan pengedar tempatan melalui satu siri kegiatan promosi
serta program pemadanan perniagaan.
Abu Bakar berkata IBMC-CAIT juga merancang untuk menubuhkan pejabat di
Kuala Lumpur untuk mempermudah program bersama MATRADE itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment