Thursday, October 11, 2012

Najib garis 3 strategi pentin

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121011/dn_01/Najib-garis-3-strategi-penting

Published: October 11, 2012

NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian delegasi 
dari negara Barat semasa hadir dalam Persidangan Dasar Pandang
 ke Timur-Dimensi Baharu serta Persidangan Bersama Persatuan 
Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi 
 Jepun-Malaysia (Jameca) Ke-31 di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/irwan majid

Turut kelihatan Mustapha Mohamed (kanan). - UTUSAN/IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga strategi bagi memastikan Dasar Pandang ke Timur yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 30 tahun lalu mampu mencipta lebih banyak kejayaan.
Menurut Perdana Menteri, untuk itu pemerolehan kemahiran, pengetahuan dan nilai menjadi paksi utama kepada kelangsungan dasar berkenaan.

''Pertamanya, saya ingin melihat syarikat-syarikat Malaysia berkerjasama dengan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun bagi menggerakkan ekonomi negara ke depan. PKS negara itu juga diharap dapat memainkan peranan sama khususnya dalam bidang-bidang seperti teknologi hijau, perkhidmatan teknikal utama dan sektor-sektor bernilai tinggi lain.
''Perkongsian strategik itu dilihat mampu menyumbang terhadap peralihan kita (Malaysia) kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan pengetahuan serta membantu mengukuhkan teras ekonomi negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Dasar Pandang ke Timur - Dimensi Baharu serta Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) Ke-31 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura; Presiden Majeca, Tan Sri Azman Hashim dan Presiden Jameca, Mikio Sasaki.

Najib berkata, untuk strategi kedua, masa depan dasar tersebut perlu mempunyai matlamat selain berkait rapat dengan hasil yang khusus.
Oleh yang demikian ujarnya, persoalan utama berhubung perolehan kemahiran, bidang dan tahap perlu dijelas serta diperincikan.

''Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kita mula beralih kepada industri berpandukan teknologi tinggi dan pengetahuan. Kita juga memfokus industri berkaitan pengurusan alam sekitar hingga kepada penjimatan tenaga dan teknologi hijau.
''Kita telah mengenal pasti prospek pertumbuhan dalam beberapa bidang utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan. Ini adalah sebahagian keutamaan kita bagi tahun-tahun mendatang. Jadi kita perlu membina Dasar Pandang ke Timur yang dapat memenuhi bidang berkenaan,'' katanya.
Strategi seterusnya kata Najib, negara perlu memberikan fokus untuk melahirkan bukan hanya siswazah yang mahir malah membina institusi yang kukuh.

''Itu adalah kunci kepada perkongsian strategik yang mapan. Apa yang menggembirakan saya adalah melihat penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) pada Jun lalu. Institut itu ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajian kejuruteraan untuk ASEAN.
''MJIIT akan menyediakan pengalaman persekitaran industri yang unik untuk negara hasil kerjasama golongan akademik dan perniagaan Jepun selain menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun melabur di Malaysia. Secara jujurnya saya berharap lebih banyak universiti Jepun untuk membuka kampus cawangan di sini,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, ujar Najib, sejak 30 tahun lalu, pelaburan Jepun telah menyokong 2,360 buah projek di negara ini.

Pelaburan Jepun dalam sektor pembuatan Malaysia pada tahun lalu sahaja katanya, merupakan yang tertinggi sejak 1980 yang mencecah AS$3.2 bilion (RM9.79 bilion).
Kata beliau, projek-projek berkaitan teknologi yang diluluskan tahun lalu termasuk projek pengeluaran panel solar oleh Panasonic Energy Malaysia bernilai AS$578 juta (RM1.76 bilion) dan pembuatan komponen komputer termaju oleh Ibiden bernilai AS$906.3 juta (RM2.77 bilion).
Menyebut tentang perjalanan Dasar Pandang ke Timur, katanya, Malaysia dan rakyat telah banyak memperoleh manfaat daripada sikap terbuka Jepun berkongsi prinsip yang membawa kepada pembaharuan negara.

Beliau mengambil contoh kejayaan usahawan makanan halal, Akmal Abu Hassan yang pernah mendapat didikan di Jepun.
''Hari ini, Akmal berjaya menguruskan syarikatnya di Jepun dan Malaysia hasil daripada pengajaran dan amalan perniagaan yang diperolehinya daripada dasar itu. Saya difahamkan kini kita boleh menikmati Wagyu (daging lembu) halal di beberapa restoran di Jepun hasil usaha tersebut,'' tambahnya.

No comments: