PETALING JAYA - Kerajaan sedang menimbang memberikan sokongan yang
sewajarnya kepada francaisi induk tempatan untuk memfrancaiskan produk
antarabangsa di wilayah ASEAN yang dibenarkan atau negara-negara di Asia
Tenggara.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kerajaan-timbang-sokong-francaisi-berkembang-di-asia-tenggara-1.97527
Published: October 24, 2012
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata syarikat jenama asing tersebut
haruslah merupakan perniagaan yang berinovasi dan berteknologi tinggi
serta ibu pejabat urusan dikekalkan di Malaysia.
"Kerajaan mengalu-alukan francaisi induk tempatan memperoleh hak
kewilayahan francais asing bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau
Asia Tenggara atau ASEAN untuk mengembangkan rantau ini.
"Trend ini juga akan menyokong hasrat kerajaan membangunkan Malaysia
sebagai francais Asia Tenggara menjelang tahun 2020," beliau berkata
pada malam Anugerah Francais Malaysia 2012 di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan kemasukan jenama asing
yang berinovasi dan terbukti berjaya ke pasaran tempatan dan sehingga
kini, 61 sistem francais asing telah dibawa masuk dan didaftarkan oleh
francaisi induk tempatan.
"Jenama asing, di mana hak francais induk yang telah diberikan kepada
francaisi induk tempatan, akan memberi usahawan tempatan lebih pilihan
untuk melabur dalam perniagaan francais yang terbukti berjaya walaupun
asing.
"Ini bukan sahaja akan menentukan kemasukan teknologi dan inovasi baru
untuk meningkatkan kualiti perniagaan, malah akan menentukan pelaburan
domestik negara dapat ditingkatkan," katanya.
Ismail juga menggalakkan model dan strategi perniagaan serta sistem
operasi dikaji semula secara berterusan untuk ditambah baik dan
mengutamakan pembangunan modal insan bagi meningkatkan kualiti produk
dan perkhidmatan.
"Perniagaan, walaupun berskala besar atau mikro memerlukan keprihatinan
dan penelitian yang rapi dan perniagaan francais tidak dikecualikan
dari kenyataan ini.
"Oleh itu, saya menyeru usahawan francais supaya mengadakan perancangan
strategik dengan menilai suasana perdagangan terkini serta melakukan
ramalan bagi menangani cabaran di luar jangkaan," katanya.
Majlis anugerah itu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad selaku penaung Persatuan Francais Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment