Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=701084
Published: October 11, 2012
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Walaupun dasar Pandang Ke Timur terus
relevan, Malaysia perlu berhati-hati dalam memilih nilai-nilai Jepun
yang mahu diterima pakai, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Walaupun pada masa ini Jepun lebih kebaratan berbanding 30 tahun lepas,
katanya masih ada banyak nilai yang Malaysia boleh terima pakai dari
Jepun bagi mengembangkan lagi ekonominya.
"Kita mesti terus menerima pakai nilai-nilai lain untuk masa depan,
namun pada masa ini perlu bijak membezakan, pilih yang tepat," katanya
dalam ucapan pada jamuan malam sempena persidangan Dasar Pandang Ke
Timur di sini Rabu.
Bekas perdana menteri itu berkata nilai-nilai seperti etika kerja dan
semangat berinovasi Jepun masih memberi manfaat kepada Malaysia.
"Rakan Jepun saya masih bertanya sama ada saya terus memandang ke timur
pada masa depan sedangkan Jepun menghadapi masalah ekonomi sejak 20
tahun lepas.
"Saya memberitahunya bahawa saya kini memandang ke Timur untuk melihat
kesilapan yang anda lakukan supaya kami dapat mengelaknya," katanya
berseloroh, dan disambut gelak-ketawa daripada tetamu yang hadir.
Selain itu, beliau berkata perkara lain yang perlu dikaji ialah
penubuhan universiti Jepun di sini memandangkan kos untuk menghantar
pelajar terus ke Jepun sangat mahal.
Dr Mahathir, perdana menteri keempat Malaysia, melancarkan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment