Sunday, October 21, 2012

Kerajaan Peruntuk RM16.1 Bilion Sejak 2006 Bagi Tingkat Keupayaan PKS, Kata Muhyiddin

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=703525

Published: October 21, 2012

PAGOH, 20 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM16.1 bilion sejak 2006 bagi meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan membantu golongan itu diteruskan dalam Belanjawan 2013: Janji Ditepati dengan menyediakan dana RM1 bilion untuk memajukan lagi perniagaan mereka; RM200 juta bagi PKS yang mempergiatkan industri Halal; dan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok berjumlah RM16 juta setahun.

Kerajaan juga, katanya menyediakan skim pinjaman memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil melalui model licensing dan franchising yang meliputi kemudahan pinjaman sehingga RM25,000 bagi licensee, dan RM500,000 kepada licensor.

"Sewajarnya kita merasa bangga dan bersyukur kerana pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dalam menyediakan dan menyalurkan segala bentuk bantuan seperti khidmat nasihat, pembekalan, peralatan, pemasaran di samping suntikan modal pembiayaan dari pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kompleks Sukan Pagoh di sini Sabtu.

Muhyiddin berkata bagi terus menyokong pembangunan keupayaan peniaga dan usahawan terutamanya peniaga kedai runcit tradisional, kerajaan menubuhkan Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), bertujuan meningkatkan daya saing usahawan dalam persekitaran perniagaan runcit.

Sehingga kini, katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi Skim TUKAR di mana 522 premis telah menjalani transformasi TUKAR, yang membawa kepada peningkatan purata jualan harian perniagaan antara 70 dan 200 peratus.

Di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) pula, beliau berkata kerajaan menyokong pembangunan usahawan kecil tempatan khususnya Bumiputera melalui penyaluran modal tambahan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan.

Katanya dari tahun 2008 sehingga Mei 2012, seramai 135,000 usahawan kecil seluruh negara telah mendapat manfaat TEKUN berjumlah RM1.35 bilion.

"Jumlah ini merupakan peningkatan lebih dari sekali ganda (157 peratus) dari tahun 2003 hingga 2007 yang berjumlah RM523 juta," katanya.

Beliau berkata usahawan negeri Johor merupakan negeri kedua tertinggi penerima pembiayaan TEKUN iaitu 11.4 peratus (RM154 juta) daripada jumlah keseluruhan bagi tempoh tersebut.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, meminta guru mengingatkan pelajar mereka supaya menggunakan bahasa atau ejaan standard yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pembelajaran.

"Pelajar-pelajar kita agak terpengaruh dengan bahasa-bahasa SMS, Twitter, yang merupakan dalam bentuk abbreviation atau singkatan.

"Ini satu trend yang kita harus pandang serius kerana dalam konteks pembelajaran dan pengajaran di sekolah, kita harus menumpukan penggunaan bahasa standard dan ejaan standard," katanya.

Beliau berkata penggunaan bahasa ringkas sama ada dalam Bahasa Melayu ataupun Inggeris tidak dapat dihalang kerana pengaruh media sosial yang kuat dan ia satu fenomena global.

"Dalam urusan seharian mereka guna bahasa tersebut itu tidak apalah, dari segi bahasa perhubungan sahaja. Kita faham dari segi komunikasi tetapi dari segi pembelajaran kalau dijawab sebegitu dalam peperiksaan mungkin pemeriksa tidak anggap itu sebagai jawapan yang betul," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi banjir, Timbalan Perdana Menteri berkata semua jabatan dan agensi yang berkaitan telah diarahkan bersedia menghadapi bencana itu.

Menurutnya Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan musim tengkujuh tahun ini lebih awal dan meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan serta panduan yang dikeluarkan jawatankuasa banjir di kawasan masing-masing.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat juga diminta bersedia dengan bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir dan menyimpan stok makanan bagi menghadapi bencana itu.

-- BERNAMA

No comments: