Wednesday, October 10, 2012

Ismail Sabri sangkal barang KR1M tidak kualiti

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ismail-sabri-sangkal-barang-kr1m-tidak-kualiti-1.92942

Published: October 10, 2012

Wartawan Sinar Harian
9 Oktober 2012 
 
Ismail Sabri Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
 
KOTA KINABALU - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal keras dakwaan bahawa barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak berkualiti.

Beliau berkata dakwaan itu yang disebar pembangkang sebenarnya bertujuan politik untuk mendapat sokongan rakyat.

"Bagi pembangkang, kalau rakyat gembira dengan KR1M, ia tentu memberi kelebihan kepada kerajaan kerana rakyat akan undi kerajaan. Sebab itu, pembangkang lebih suka melihat rakyat susah supaya mereka ada modal politik," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Tahunan Kementerian Bersama Industri Sabah, di sini hari ini, menegaskan semua barangan keperluan yang dijual di KR1M mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

"Sekiranya Kementerian Kesihatan memutuskan barangan keperluan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia rendah kualiti atau tidak sesuai, kita tidak teragak-agak menarik balik barangan terbabit," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kementeriannya merancang membuka sekurang-kurangnya 25 lagi KR1M di Sabah dan dua di Labuan berikutan sambutan menggalakkan daripada pengguna di negeri ini.

Pada masa ini, hanya sebuah KR1M dibuka di Sabah iaitu di Inanam, dekat sini.

Ismail Sabri berkata untuk tahun depan , sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk Program Penyeragaman Harga di Sabah dan Labuan.

Peruntukan itu meliputi sekurang-kurang 30 kawasan baharu yang dikenal pasti termasuk di Kudat, bahagian pantai utara Sabah.

Menurutnya Program Penyeragaman Harga bukan hanya bermatlamat menyeragamkan harga barangan keperluan  antara Semenanjung,  Sabah, Sarawak dan Labuan tetapi juga antara bandar dan luar bandar di negara ini. - Bernama

No comments: