Sunday, October 14, 2012

Usahawan perlu ada mentor untuk maju, kata pakar motivasi

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/usahawan-perlu-ada-mentor-untuk-maju-kata-pakar-motivasi-1.94548

Published: October 14, 2012

KUALA LUMPUR - Untuk menjadi pemimpin industri seseorang usahawan perlu ada sekurang-kurangnya seorang mentor sebagai rujukan bagi mengembangkan perniagaan mereka, kata pakar motivasi Dr Azizan Osman.
  
Pengasas Richworks Human Capital Development (M) Sdn Bhd, syarikat motivasi bagi pengurusan kewangan itu berkata mentor adalah penting untuk dijadikan contoh dan melaluinya kita dapat perbaiki kelemahan perniagaan kita.
  
"Perlu bagi para usahawan menetapkan matlamat mereka dalam sesuatu industri untuk berjaya ke pasaran antarabangsa kerana dengan itu mereka akan tahu apa yang mahu dicapai sehingga berjaya," katanya di Seminar Jutawan Industri Edisi Khas Dr Azizan di sini hari ini.
 
Seminar tersebut merupakan projek komuniti Richworks yang menyasarkan penyertaan lebih kurang 15,000 peserta di sembilan lokasi berlainan untuk kepentingan perhubungan usahawan dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.
  
Dr Azizan berkata fokus utamanya mengadakan seminar tersebut adalah untuk penjenamaan para usahawan sebagai pemimpin industri kerana ia penting bagi perkembangan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
  
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan program sesi bimbingan pada 23 hingga 25 November ini di Menara PGRM Cheras di sini dalam memperkembangan lagi konsep tersebut. - Bernama

No comments: