Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/labuan-mahu-muncul-pusat-halal-asia-1.68851
Published: July 21, 2012
LABUAN - Labuan kini boleh berbangga dengan wujudnya pusat pengedaran
produk halal yang dijangka memulakan operasi sepenuhnya awal tahun
depan, sekali gus meletakkannya sebaris dengan pusat pembangunan halal
lain di rantau Asia ini.
Projek fasa pertama bernilai RM50 juta yang mula dibina awal Mac 2009
terletak di Kiansam itu kini sudahpun siap, manakala fasa kedua yang
membabitkan peruntukan tambahan RM36 juta sedang dalam perlaksanaan
secara berperingkat dan akan turut memberikan limpahan ekonomi kepada
penduduk setempat melalui industri kecil dan sederhana (IKS).
Meskipun pembangunan produk halal masa kini seringkali mendapat
persaingan sengit memandangkan potensi ganjarannya yang begitu besar
serta mendapat sambutan hangat di peringkat global, pusat pengedaran
produk halal Labuan yang dikendalikan oleh Perbadanan Labuan melalui
anak syarikatnya Labuan Halal Distribution Hub (LHDH) dijangka menyusun
pelan strategi dalam memastikannya tidak ketinggalan dan terus berdaya
saing.
Perbadanan Labuan turut bekerjasama dengan Kementerian Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Marditech Corporation Sdn Bhd
di atas tanah berkeluasan 100 ekar (40 hektar) dengan memberi fokus
kepada industri perikanan dan akuakultur.
Kemudahan masa depan yang tersedia untuk peserta industri pula
termasuklah kompleks pergudangan, gudang kering, kemudahan bilik sejuk
dan sistem kebolehkesanan, kata Pegawai Perhubungan Perbadanan Labuan,
Jah Murniwaty Markum kepada Bernama.
Beliau berkata, berdasarkan kajian, ia menunjukkan bahawa pasaran
produk halal Malaysia adalah penyumbang yang agak besar kepada pasaran
produk halal dunia dengan mencatatkan perolehan lebih RM300 bilion
(melebihi US$80 bilion) setahun dan angka itu dijangka terus meningkat
dari semasa ke semasa.
Keyakinan Labuan menjadi salah satu pusat pengedaran produk halal
terunggul turut disumbang dengan pengiktirafan dunia ke atas piawaian
halal Malaysia, bukan sahaja di negara Islam malah juga di negara bukan
Islam, selain pelbagai usaha dan strategi Kementerian Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
“Bukan itu sahaja, malahan Halal Malaysia menepati standard ISO -
MS1500: 2004 - Standard untuk Pembuatan, Pengendalian dan Penyimpanan
makanan Halal, telah dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Standard ini juga menepati standard antarabangsa seperti Good
Manufacturing Practice (GMP) dan Good Hygiene Practice (GHP),” katanya.
“Malaysia mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam bidang agama Islam
tetapi juga keupayaan perkembangan dalam sains dan teknologi terkini,
terutamanya dalam bidang sains makanan, biokimia dan mikrobiologi selain
daripada pengurusan perniagaan," katanya.
Jah Murniwaty berkata Labuan juga berada di landasan terbaik untuk
merealisasikan hasrat menjadi antara hab halal di rantau Asia berikutan
meningkatnya kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap usaha berterusan
negara ini dalam membangunkan industri halal.
Menurut Jah Murniwaty, berdasarkan perangkaan terkini, terdapat 4,758
syarikat yang menerima persijilan halal di negara ini, dengan 700
daripadanya secara aktif mengeksport produk serta perkhidmatan halal.
“Seperti pusat pengedaran halal lain, destinasi eksport utama kita
ialah China, Amerika Syarikat (AS), Singapura, Belanda dan Jepun, selain
negara-negara timur tengah,” katanya.
“Dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul, kami yakin Labuan
boleh berdaya saing. Kedudukan strategik Labuan juga akan membantu
merealisasikan objektifnya sebagai pusat pengedaran produk halal,
meskipun ianya mengambil sedikit masa,” katanya.
“Dari segi impak kepada ekonomi tempatan, ianya tidak harus dilepaskan
oleh penduduk setempat terutamanya yang kini terlibat dengan pengeluaran
produk hiliran IKS. Kita tidak mahu melihat warga tempatan terus
menjadi pemerhati kepada pembangunan ini,” tambahnya.
Sementara itu, industri halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun.
Dengan jumlah yang sebesar itu, sudah pasti ia dapat menghasilkan
pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang menumpukan
perhatian secara serius bagi menghasilkan produk berstatus halal, kata
Jah Murniwaty.
"Kita tidak mahu melihat lagi yang mana pada masa ini 80 peratus produk
makanan halal dikeluarkan oleh negara bukan Islam dan digunakan oleh
kebanyakan negara Islam. Jadi, di sinilah Labuan akan memainkan
peranannya dalam membantu kerajaan persekutuan mencapai objektifnya dan
memartabatkan industri halal negara,", katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment