Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=699641
Published: October 05, 2012
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Empat perusahaan kecil dan sederhana
(PKS) dari Jepun akan melabur di Malaysia dalam sektor tenaga hijau,
pertanian dan pembuatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, hari ini.
Cadangan perniagaan itu dijangka ditandatangani dalam masa setahun ini,
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa
Panasonic kepada dua pelajar yang akan berlepas ke Jepun tidak lama lagi
bagi mengikuti pengajian tinggi. Mustapa berkata PKS itu telah
mengambil keputusan untuk melabur di negara ini, malah sebahagian
daripadanya telah membeli tanah untuk memulakan operasi.
"Pelaburan ini penting kepada kita dan ia akan menyediakan peluang
pekerjaan dan menunjukkan hakikat bahawa Malaysia bukan sahaja menarik
syarikat multinasional dan badan-badan korporat yang besar, malah juga
perusahaan kecil dan sederhana," katanya.
Beliau berkata, memandangkan Malaysia menyasarkan untuk terus menarik
pelabur Jepun, kementeriannya dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
akan bersama menganjurkan persidangan bertajuk "Dasar Pandang Ke Timur"
yang bertema "Dimesi Baharu" di sebuah hotel di sini Rabu depan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment