Sunday, January 20, 2013

Vita Cat terus mara

ALOR SETAR 18 Jan. - Pengeluar makanan kucing halal Malaysia, Edaran Vita Cat Sdn. Bhd. (Vita Cat) merancang melantik 100 francaisi menjelang penghujung tahun depan selaras dengan usahanya untuk memperluaskan perniagaan secara francais ke seluruh negara.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130119/ko_02/Vita-Cat-terus-mara
Published: January 20, 2013

Pengarahnya, Sophia Ali berkata, rancangan berkenaan sekali gus membuka peluang perniagaan francais kepada usahawan bumiputera yang berminat menceburi bidang penjagaan haiwan peliharaan.

Katanya, francais pertama akan dibuka di Bandar Baru Bangi, Selangor disusuli Putrajaya dan Taman Melawati di Ulu Kelang pada bulan depan.

"Kami mahu berkongsi kejayaan dengan memberi peluang perniagaan kepada bumiputera menerusi sistem francais. Syarikat menyasarkan untuk melantik 50 pemegang francaisi pada tahun ini dan 50 lagi tahun depan.

"Usaha ini dilakukan berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk kami dan mereka yang dilantik bukan sahaja menjadi francaisi kami tetapi juga pengedar di sekitar kawasan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Vita Cat, satu-satunya syarikat tempatan yang menghasilkan makanan halal kucing di Malaysia merupakan sebuah perusahaan kecil dan sederhana yang ditubuhkan pada 2007 dan memulakan pengeluaran dua tahun selepas itu.

Kapasiti pengeluaran di kilangnya di Mergong, di sini kini sekitar 120 tan sebulan dengan jualan kasar yang dicatatkan syarikat berkenaan pada tahun lalu ialah RM4.8 juta.

Menurut Sophia, peluang perniagaan francais yang ditawarkan itu perlu direbut oleh usahawan yang mempunyai hasrat untuk menjadi ahli perniagaan berjaya pada masa depan.

Katanya, syarikat berkenaan mengalu-alukan golongan bumiputera termasuk individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang penjagaan haiwan peliharaan seperti pesara kakitangan veterinar dan siswazah dalam bidang sama untuk menjadi francaisi.

"Kami yakin sistem francais adalah kaedah terbaik bukan sahaja bagi kami mengembangkan perniagaan tetapi membuka peluang terutama kepada golongan bumiputera untuk menceburi bidang ini," katanya.

Tambahnya, cawangan Vita Cat akan meliputi semua keperluan seperti ubat, tatahias dan sangkar yang mana mereka yang berminat hanya perlu menyediakan modal serendah RM50,000 untuk mendapatkan peralatan penuh.

"Kita tidak akan memberi tekanan dengan yuran tersembunyi atau yuran yang tinggi. Kita lebih kepada membentuk daripada mengambil keuntungan daripada francaisi, itu yang kami sumbangkan," katanya.

Sophia berkata, konsep yang diseragamkan di kesemua rangkaiannya itu nanti ialah santai dan memastikan keselesaan kucing termasuk tempat kurungan anti nyamuk serta pemasangan muzik bagi menenangkan haiwan tersebut.

Katanya, mereka juga akan menggunakan konsep kedai yang bersih berbanding kedai haiwan peliharaan tradisonal.

Sementara itu, dia memberitahu, Vita Cat akan membuka kilang baharu bernilai RM5 juta di Tanah Merah, Jitra dekat sini yang dijangka beroperasi pada awal Mac ini dengan kapasiti pengeluaran antara 200 hingga 300 tan sebulan.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi francaisi Vita Cat boleh melayari laman web syarikat itu di www.vitacat.com.my atau menghubungi talian 012-4664080.

No comments: