Tuesday, January 29, 2013

Hanya 20 peratus usahawan Terengganu gagal bayar balik pinjaman YPU

KUALA TERENGGANU - Hanya 20 peratus daripada 2,000 usahawan gagal membayar balik pinjaman kewangan seperti yang dijadualkan kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/hanya-20-peratus-usahawan-terengganu-gagal-bayar-balik-pinjaman-ypu-1.125985
Published: January 29, 2013

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Azmi Razik berkata, jumlah itu adalah sangat kecil, dan yayasan berusaha mengatasi masalah tersebut secara diplomasi sebelum mengambil tindakan mengikut undang-undang.

"YPU sentiasa memantau rekod pembayaran semula hutang pinjaman oleh usahawan dan memberi bimbingan kepada mereka dari semasa ke semasa.

"Secara umumnya, kita berbangga kerana sebilangan besar usahawan mampu membuat pembayaran balik, dan ini membuktikan mereka berjaya mengembangkan perniagaan hasil pinjaman daripada YPU," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Seramai 21,000 usahawan kini aktif menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang di seluruh Terengganu, dan daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 orang mengikuti kursus serta pameran dan ekspo anjuran YPU.

Buat julung kalinya juga, YPU menerima peruntukan RM2 juta daripada kerajaan negeri Terengganu sebagai dana untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi memperluas pasaran perniagaan mereka tahun ini.

Azmi berkata jumlah itu meningkat hampir 75 peratus berbanding RM500,000 yang diterima pada tahun lepas.

"Kita sediakan dua jenis pinjaman melalui dana ini, iaitu Skim Pinjaman Kecil untuk pembiayaan di bawah RM10,000 dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah bagi pembiayaan bawah RM50,000.

"Dana ini meliputi modal pinjaman dan modal pusingan yang akan diberi kepada usahawan IKS sedia ada, malah YPU menggalakkan agar rakyat Terengganu terus menceburi perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mereka," katanya. - Bernama

No comments: