Saturday, January 26, 2013

Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Meningkatkan Produktiviti Dan Kualiti Syarikat, PKS

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Program Promosi Kecemerlangan Organisasi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti bagi syarikat/perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melahirkan usahawan yang berdaya saing.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=923933
Published: January 26, 2013

Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Abdul Ghafar Musa berkata program itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama MITI, turut meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, produktiviti dan nilai eksport serta membantu usahawan Bumiputera yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Syarikat yang terlibat menunjukkan prestasi positif dari segi peningkatan jualan secara purata 9.95 peratus dan peningkatan penembusan produk ke pasaran antarabangsa sebanyak 14.72 peratus, katanya pada majlis penyampaian sijil kepada wakil sembilan syarikat yang menghadiri program itu.

Sijil itu disampaikan oleh beliau sendiri.

Selain itu, Abdul Ghaffar berkata syarikat-syarikat juga mengurangkan pembaziran bahan mentah secara purata 11.32 peratus dan peratusan pematuhan Piawai Antarabangsa telah meningkat secara purata daripada 9.95 peratus kepada 78.34 peratus.

Amalan pengurusan kualiti yang menyeluruh itu akan turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat yang akan menjana peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam rangka Malaysia menuju ekonomi berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Pengarah Kanan MPC Abdul Rahim Yusoff berkata banyak syarikat telah menerima faedah serta impak melalui program itu seperti peningkatan dalam penembusan produk ke pasaran antarabangsa, kecekapan proses kerja, pengiktirafan pelanggan dan pengurangan dalam kecacatan produk, pembaziran bahan mentah dan meningkatkan daya saing global.

Pelaksanaan Program Promosi Kecemerlangan Organisasi itu merupakan salah satu daripada pendekatan baru yang dilaksanakan oleh MITI setelah mengambil alih fungsi dan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (MECD) dalam agenda pembangunan Bumiputera.

Bagi melaksanakan program tersebut, MITI telah mengadakan kerjasama strategik dengan agensi-agensi di bawah MITI seperti MATRADE, MPC, SME Corp, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dewan-dewan perniagaan, agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

-- BERNAMA

No comments: