Tuesday, January 8, 2013

Usahawan Melayu, bumiputera perlu rebut peluang di PIPC

JOHOR BAHRU 7 Jan. - Usahawan Melayu dan bumiputera perlu bersiap sedia untuk merebut pelbagai peluang perniagaan hasil daripada projek pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130108/wj_03/Usahawan-Melayu-bumiputera-perlu-rebut-peluang-di-PIPC
Published: January 08, 2013

Ketua Projek Khas Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Zulkifli Abd. Rani berkata, projek tersebut kini di peringkat akhir perancangan dan impak kepada pembangunan ekonomi hanya akan mula dirasai sebaik ia mula beroperasi menjelang 2017.

Beliau berkata, usahawan Melayu khususnya tidak harus melepaskan peluang seperti itu dan perlu sentiasa peka selain mengambil peluang melibatkan diri secara langsung dalam sektor minyak dan gas.

"Mungkin ramai yang masih tidak merasai kesan pembangunan projek ini kerana ia mengambil masa lama untuk siap dan atas sebab itu kita perlu menyiapkan diri termasuk mempelajari teknologi terbaru selain meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan.

"PIPC turut menyediakan pelbagai peluang perniagaan sampingan dan tidak hanya terhad kepada industri minyak dan gas," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Pembangunan Projek PIPC di Pengerang - Impak dan Kesan kepada Ekonomi Orang Melayu pada Kongres Ekonomi Melayu Zon Selatan, di sini semalam.

PIPC merupakan sebuah projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 8,100 hektar dan akan menghimpunkan pelbagai industri berkaitan minyak dan gas seperti penapisan minyak, petrokimia serta terminal gas asli cecair (LNG).

Zulkifli berkata, usahawan juga perlu bersikap terbuka bagi meneruskan saingan dalam perniagaan pada masa akan datang dan pada masa sama perlu mencari idea untuk terus kekal relevan dalam industri itu.

Beliau berkata, pada masa sama JPDC turut merangka beberapa pendekatan termasuk penyediaan latihan kepada penduduk di kawasan Pengerang khususnya generasi muda untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja dalam projek PIPC.

"Projek ini dijangka menyediakan lebih daripada 40,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan sokongan dan pelbagai peluang lain dapat diwujudkan menerusi industri hiliran serta perniagaan lain," katanya.

No comments: