Wednesday, January 2, 2013

DDEC catat jualan RM100 juta 2012

Design Development Centre (DDEC) mengunjurkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengguna perkhidmatannya mencatat jualan RM100 juta pada 2012 berbanding RM68 juta tahun sebelumnya. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DDECcatatjualanRM100juta2012/Article
Published: January 02, 2013

Peningkatan itu adalah sejajar pertambahan bilangan PKS yang menggunakan khidmat agensi itu untuk membantu mengukuhkan jenama dan persembahan produk serta perkhidmatan mereka tahun lalu.
Ketua Eksekutif, Datuk Abd Rahim Hassan, berkata pada 2012 sebanyak 2,450 syarikat PKS mendapatkan perkhidmatan DDEC, berbanding 1,357 pada tahun sebelumnya.

“Maklumat mengenai peningkatan jualan syarikat PKS terbabit diperoleh melalui satu kaji selidik DDEC, yang mana PKS terbabit akan melaporkan peningkatan jualan mereka selepas menerima perkhidmatan pembaikan jenama dan persembahan produk daripada DDEC.

“Bersandarkan pembabitan lebih banyak PKS yang menggunapakai perkhidmatan DDEC pada tahun 2012, saya yakin peningkatan jualan yang akan dilaporkan melebihi RM100 juta,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Tahun ini, DDEC menyasar untuk membantu 3,200 PKS bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka.

Tindakan agresif
Untuk mencapai sasaran itu, agensi itu berhasrat untuk bertindak secara lebih agresif dalam mempromosikan perkhidmatannya dalam kalangan usahawan PKS di negara ini.

Abd Rahim berkata, antara acara yang akan dianjurkan adalah pameran bersama agensi reka bentuk; seminar dan forum reka bentuk yang menampilkan panel daripada dalam dan luar negara serta bengkel reka bentuk kepada usahawan PKS dan orang ramai.

“Bagi mempromosikan perkhidmatan DDEC, tumpuan akan disasarkan kepada usahawan PKS melalui program pengiklanan bersiri penjenamaan dalam akhbar dan majalah, media elektronik dan media sosial.

“Tindakan pengiklanan agresif ini sejajar dengan kajian semula terhadap sasaran awal kami untuk membantu meningkatkan daya saing 6,000 usahawan PKS menjelang 2015,” katanya.

Dalam pada itu, DDEC berkata ia hanya mengenakan bayaran minimum bagi membantu usahawan PKS dalam meningkatkan jenama dan menyediakan rekaan inovatif pembungkusan produk mereka.

No comments: