Tuesday, January 1, 2013

Janariah gigih ternak udang

TAWAU 31 Dis. - Menyedari udang putih mendapat permintaan baik di pasaran, seorang wanita muda gigih mengusahakan penternakan udang kolam di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar di sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130101/wb_01/Janariah-gigih-ternak-udang
Published: January 01, 2013


Hamisa Samat (tengah) bersama pekerja perusahaan udang 
Kuralas di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, Tawau

Janariah Kurus, 30, mengambil keputusan melibatkan diri secara serius menternak udang sejak setahun lalu. Sebelum itu, perniagaan keluarganya yang diusahakan sejak 2003 lebih memfokuskan kepada ikan air tawar.

Namun, bermula tahun lalu beliau memilih menternak udang melalui bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ko-Nelayan dan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kemajuan Usahawan Nasional (TEKUN) sebanyak RM30,000 selain wang simpanan keluarganya.

"Pada masa ini kami mempunyai lima petak kolam udang dan hanya akan melakukan penuaian tiga kali setahun. Sebabnya, anak-anak udang itu memerlukan masa 90 hari untuk membesar. Setiap petak akan menghasilkan 1.5 tan udang sekali tuaian," jelasnya.

Menurut Janariah, minat yang mendalam menyebabkan beliau nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang.

"Semuanya bermula daripada minat. Di samping itu, saya juga rajin bertanya kepada pengusaha-pengusaha yang menternak udang kolam di sekitar Daerah Merotai dan Kunak," ujarnya.

Janariah menambah, dalam perniagaan seperti ini amat susah sekiranya seseorang pengusaha itu tidak mempunyai modal mencukupi, selain tapak yang bersesuaian khusus berdekatan sungai.

"Paling penting perlu ada tapak, bekalan elektrik dan perairan di situ. Menternak udang kolam di Merotai tidak susah kerana ada Sungai Merotai berhampiran," katanya.

Daripada segi penjagaan terutama kualiti air, Janariah berkata, dia menggunakan penguji kualiti air iaitu (ammonia test) bagi menentukan sama ada air kolam itu perlu ditukar.

"Sekali menuai saya boleh mendapat sebanyak 18 kilogram (kg) dan pernah mencecah 25 kg. Harga jualan adalah RM13 satu kg.

"Itupun, ada juga pembeli yang membeli secara sikit-sikit. Semua bergantung kepada belian pelanggan.

"Purata sebulan tidak menentu kerana saya membuat perkiraan dalam tempoh tiga bulan sekali. Pendapatan bersih selepas ditolak semua kos adalah kira-kira RM4,000. Perusahaan ternak ini kalau diusahakan bersungguh-sungguh pasti berjaya," katanya.

Kejayaan penternakan kolam udang itu juga memberi idea baru kepada Janariah untuk meneroka satu lagi perniagaan iaitu inap desa berdekatan tapak ternakan udang itu.

"Melalui inap desa, pelancong diberi peluang melawat Kolam Kuralas ini, sambil menikmati pemandangan dapat menjamu selera memakan udang," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat yang melawat projek ternakan udang air tawar itu yakin usaha peserta yang terdiri daripada golongan muda itu akan menjadi pencetus semangat kepada kumpulan lain meneroka bidang itu.

"Kami gembira kerana kumpulan peserta ini telah berjaya membawa perubahan kepada tanah yang terbiar kosong dan sekali gus menambah pendapatan ahli keluarga mereka," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar, kerajaan melalui agensi-agensinya begitu giat menggalakkan masyarakat menyertai pelbagai projek yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan.

"Untuk memastikan kejayaan, kerajaan bukan sahaja membantu daripada segi penyediaan modal awal, malah kerja-kerja teknikal seperti kesesuaian lokasi, baja, benih dan sebagainya turut sama diambil berat.

"Jika sebelum ini projek-projek baru luar bandar banyak tertumpu kepada penternakan ikan air tawar, tetapi kebelakangan ini, permintaan yang tinggi terhadap udang akuakultur telah mewujudkan satu lagi peluang pekerjaan lumayan kepada masyarakat kampung, khususnya kepada golongan muda," katanya.

No comments: