Sunday, January 20, 2013

Bagaimana PKS boleh mendapatkan pembiayaan bank?

BAGAIMANA perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan perniagaan yang berdaya maju tetapi tidak cukup cagaran boleh mendapatkan pembiayaan?

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130119/ek_04/Bagaimana-PKS-boleh-mendapatkan-pembiayaan-bank
Published: January 20, 2013

Persoalan ini sering ditanya kerana telah menjadi dilema kepada kebanyakan PKS untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan bagi memperkembangkan perniagaan.

Menurut kajian daripada Jabatan Statistik (Malaysia), 55.2 peratus daripada PKS menghadapi masalah apabila cuba mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan kerana kekurangan cagaran.

Untuk mengatasi halangan ini, sebuah agensi kerajaan Credit Guarantee Corporation (CGC), telah ditubuhkan untuk membantu PKS mendapatkan pembiayaan walaupun dengan sandaran, cagaran atau pembiayaan yang tidak mencukupi.

CGC mengambil pendekatan yang menyeluruh kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menyediakan pilihan produk dan khidmat penasihat yang lebih luas bagi pembangunan kewangan dan perniagaan.

Perkhidmatan ini bertujuan mempermudahkan pembiayaan kepada PKS sambil menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang mantap.

Walaupun sistem perbankan akan terus menjadi pembekal dana utama kepada PKS, kerajaan dan pelbagai agensinya akan terus menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk dana khas dan pakej pembiayaan kepada kumpulan sasaran.

Program khas ini menyokong dan melengkapi keupayaan PKS untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan pembiayaan yang seterusnya membawa kepada pengurusan PKS yang kukuh dan rapi.

Memandangkan sesetengah PKS tidak dapat memberikan cagaran secukupnya, bank seperti OCBC Al-Amin telah menggunakan akaun aliran tunai secara praktikal untuk menentukan kekuatan pembayaran pelanggan menerusi skim yang ditawarkan oleh CGC.

Satu lagi isu yang dihadapi PKS ialah tempoh masa yang panjang antara permohonan pembiayaan dan penyaluran dana pembiayaan, terutamanya kerana syarikat kecil lazimnya tidak dapat memberikan dokumentasi penuh.

Bank yang bertumpu kepada PKS memanfaatkan metodologi ringkas, pantas dan mudah digunakan untuk memproses dan meluluskan pembiayaan dengan cepat untuk memenuhi keperluan PKS yang mahukan permohonan diproses dengan segera.

Untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada PKS bagi pembiayaan bertempoh untuk memenuhi keperluan pembiayaan jangka pendek hingga pertengahan mereka di samping menyelesaikan masalah masa pemprosesan yang lama, institusi kewangan mengambil langkah menawarkan pakej pembiayaan khas kepada orang ramai.

Di samping itu, bank yang memberi tumpuan kepada PKS juga menawarkan perkhidmatan pengurusan tunai untuk menggalakkan PKS mengendalikan perniagaan harian dengan lebih berkesan.

Proses dan prosedur yang diguna pakai daripada peringkat penciptaan produk kepada pengedaran dan perkhidmatan lepas jualan sering dipantau oleh sepasukan pakar dalam bidang masing-masing untuk terus memperbaiki perkhidmatan. Ini akan memastikan Bank mengikuti perkembangan terkini dan kekal relevan dalam persekitaran pasaran PKS semasa.

PENULIS merupakan Ketua Perbankan Perniagaan & Pembangunan Bumiputera, OCBC Al-Amin Bank Berhad

No comments: