Published: July 11, 2012
KUALA PILAH 10 Julai - Seramai 40 mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mendekati usaha yang dilakukan peserta Pusat Dalam Komuniti (PDK) Juasseh, di sini sebagai salah satu projek latihan menjelang pertandingan keusahawanan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Menurut mahasiswa, Mohammad Harish Rasydan Abdul Mustak, 21, pemilihan ke PDK ini merupakan satu peluang terbaik untuk kumpulannya mengetahui projek usahawan yang dilakukan mereka, sejajar dengan pertandingan Student In Free Enterprise (SIFE) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 15 hingga 17 Julai ini.
''Kami memilih PDK ini untuk menjadi sebahagian produk persembahan dalam pertandingan kelak kerana wujudnya keunikan serta keupayaan mereka menghasilkan pelbagai produk untuk pasaran," ujarnya di sini baru-baru ini.
Katanya lagi, penting untuk mahasiswa mengetahui asas ekonomi, pengurusan kewangan dan pelaburan yang dilakukan oleh PDK ini serta cara mereka menjana pendapatan dalam saingan perniagaan dan keusahawanan.
''Kami berharap dengan bahan serta maklumat yang diperoleh ini akan dapat membantu kejayaan UTeM ke pertandingan itu kelak," jelasnya.
Sementara itu Pengerusi PDK Juasseh, Mariah Abdullah berkata, pihaknya telah pun menghasilkan projek tanaman hidroponik sawi, kangkung dan pegaga sejak awal tahun lalu.
''Kita dapati hasil yang diperoleh amat baik dan berupaya meningkatkan pendapatan, khususnya dalam kalangan ahli yang merupakan orang kurang upaya (OKU)," jelasnya.
No comments:
Post a Comment