Wednesday, July 4, 2012

UiTM bantu usahawan kraf Terengganu

KUALA TERENGGANU 3 Julai - Usahawan kraf di negeri ini tidak boleh lagi terus bersandarkan kepada ilmu dan pengalaman yang diwarisi sahaja sekiranya ingin kekal berdaya saing dalam perusahaan ini.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm
Published: on 04 July 2012

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi berkata, mereka perlu menyesuaikan dengan perubahan keadaan dan memenuhi kepelbagaian cita rasa.

Justeru katanya, ilmu itu perlu digabungkan dengan pendidikan berkaitan industri kraf yang dipelajari secara lebih formal dengan pendekatan kreatif dan komersial.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Usahawan Kraf Terengganu yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.


Seminar selama dua hari yang terbahagi kepada tiga sesi pembentangan itu disertai oleh 138 peserta termasuk kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Katanya, pendidikan secara formal khususnya berkaitan dengan bidang pemasaran kraf penting untuk dipelajari memandangkan industri itu mempunyai pasaran yang besar di luar negara.

"Sebab itulah di UiTM cawangan Kuala Terengganu sendiri kita ada menyediakan beberapa kursus berkaitan di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Tekstil untuk membantu usahawan-usahawan baru ini," katanya.

Malah para pelajar juga katanya, boleh mencorakkan perubahan apabila mereka terlibat dalam lapangan ini sebagai satu kerjaya selepas menamatkan pengajian.

Abdol Samad menekankan betapa perlunya usahawan kraf lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu produk agar ia mendapat tempat di pasaran yang lebih tinggi.

"Saya menyarankan supaya usahawan kraf berpandangan jauh dan mencontohi syarikat Selangor Pewter yang berjaya membawa nama Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa," ujar beliau.

No comments: