Friday, July 13, 2012

Dana francaisor berbaki RM7.5j

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DanafrancaisorberbakiRM7_5j/Article/index_html

Published: July 13, 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

DANA Perkembangan Luar Negara membabitkan peruntukan berjumlah RM10 juta yang diperkenalkan kerajaan menerusi Perbadanan Nasional Bhd (PNS) pada Oktober tahun lalu, kini masih berbaki RM7.5 juta.

Pengarah Urusan PNS, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, menerusi dana itu, peruntukan maksimum yang boleh dipohon francaisor adalah RM1 juta.

“Dana ini antara sokongan yang disediakan kerajaan untuk membantu perkembangan francaisor di negara ini menembusi pasaran antarabangsa dan PNS selaku agensi kerajaan yang diberi mandat menerajui pembangunan industri francais turut bertanggungjawab membantu francaisor dan francaisi mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“Menerusi Dana Perkembangan Luar Negara, nilai peruntukan maksimum yang boleh dipohon francaisor adalah RM1 juta dengan modal pembiayaan ideal adalah 50:50, iaitu separuh daripada keperluan modal pemohon,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, golongan francaisor tempatan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pasaran domestik kerana pasaran sebenar berada di luar negara.

“Malaysia mempunyai hanya 28 juta penduduk. Jika ke China atau India, jumlah penduduknya satu bilion dan jumlah penduduk dunia adalah tujuh bilion. Oleh itu, francaisor tempatan perlu mengambil peluang untuk meneroka pasaran luar,” katanya.


Syed Kamarulzaman berkata, walaupun PNS menyediakan sokongan kewangan dan khidmat nasihat, pengusaha francais yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke luar negara perlu mengambil kira tiga faktor penting sebelum berbuat demikian.

“Pertamanya, mereka perlu mendaftar tanda niaga untuk mengelakkan masalah melanggar peraturan, memahami keperluan pasaran di negara yang mahu ditembusi dan mendapatkan garis panduan sebelum menjalankan perniagaan di kawasan terbabit,” katanya.

No comments: