Published: July 26, 2012
NURAINN AZHAR
Langkawi menjadi destinasi ke-11 siri Jelajah Francais 1Malaysia anjuran Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (Bepu) sekali gus dilihat berpotensi sebagai lokasi francais.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, usahawan perlu merebut peluang dengan menjalankan perniagaan secara francais di Langkawi berikutan ia menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong.
Menurutnya, francais adalah bidang baru dan paling senang diceburi malah usahawan sepatutnya beralih ke arah itu dan menjadikannya sebagai alternatif.
“Sehingga kini, 500 francais telah dibuka di seluruh Malaysia dan kami menyasarkan pembukaan antara 20 hingga 50 francais di Langkawi menjelang hujung tahun ini.
“Usahawan diberikan peruntukan menerusi skim pinjaman mikro RM50,000 bagi setiap francaisi yang ingin memulakan perniagaan dan tempoh pembayaran semula adalah lima tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Sohaimi berkata, pembangunan francais mikro juga akan meluaskan peluang dalam sektor francais termasuk di luar bandar yang masih belum didedahkan kepada mereka.
Katanya, secara tidak langsung siri penjelajahan tersebut memberi pendedahan, galakan dan maklumat mengenai francaisi dan francaisor dalam kalangan usahawan.
“Siri jelajah tersebut dikembangkan ke Langkawi adalah berdasarkan permintaan dalam kalangan usahawan dan mendapat sambutan menggalakkan lebih 350 pengunjung,” katanya.
No comments:
Post a Comment