Friday, July 13, 2012

32 inisiatif pacu pertumbuhan

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/32inisiatifpacupertumbuhan/Article/index_html

Published: July 13, 2012
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyarankan 32 inisiatif dijangka dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat mempunyai pertumbuhan tinggi serta berinovasi, meningkatkan tahap produktiviti dan mempergiat formalisasi perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semua matlamat berkenaan akan menyumbang kepada visi pelan induk untuk melahirkan PKS yang berdaya saing di peringkat global bagi meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pelan induk itu akan bertindak sebagai peneraju cara gaya baru (game changer) bagi melonjakkan sumbangan PKS kepada ekonomi dan seterusnya membawa pembangunan PKS ke satu peringkat lebih tinggi, menerusi peningkatan produktiviti, inovasi dan pertumbuhan yang lebih besar lagi.

“Pelan Induk akan melakar hala tuju PKS, dengan menyasarkan peningkatan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 32 peratus pada 2010 kepada 41 peratus pada 2020. “Ini memerlukan satu lonjakan berganda dalam pertumbuhan PKS yang akan tercapai menerusi enam program berimpak tinggi dan langkah pelengkap lain,” katanya berucap ketika melancarkan Dokumen Pelan Induk PKS (2012-2020) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta menteri dan timbalan menteri Kabinet yang lain.

Terdahulu Najib mempengerusikan Mesyuarat ke-13 Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) bersama menteri Kabinet dan ketua agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju dan strategi pelaksanaan keseluruhan pelan induk berkenaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pelancaran Pelan Induk PKS itu satu titik permulaan dalam usaha membawa pembangunan PKS ke tahap baru. “Perjalanan sebenar akan bermula dengan pelaksanaan pelan induk dan hanya akan bertitik noktah apabila mencapai matlamat disasarkan,” katanya.

Menurutnya, pelan induk itu yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia mengambil pendekatan baru dalam pembangunan PKS, dengan mengutamakan penyampaian menerusi pembangunan mekanisme penilaian dan pemantauan bagi mencapai hasil disasarkan.
Katanya, untuk tujuan itu peranan serta fungsi Agensi Penyelaras Pusat PKS iaitu SME Corp Malaysia perlu diperkukuh dan diperkasa bagi membolehkannya bertindak sebagai peneraju kepada Pelan Induk PKS.

“Di samping itu, menerusi perkongsian awam-swasta, kementerian dan agensi pelaksana yang lain akan bekerjasama serta berkongsi tanggungjawab dan akauntabiliti dengan sektor swasta ke arah mencapai matlamat Pelan Induk PKS.

“Suka saya nyatakan di sini, pelan induk turut membabitkan proses pemuafakatan dengan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta bagi memastikan inisiatif yang dicadangkan adalah pragmatik, relevan dan boleh dilaksanakan,” katanya.

No comments: