Monday, July 30, 2012

Laman Sejahtera bantu ibu tunggal berniaga

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20120730/wk_02/Laman-Sejahtera-bantu-ibu-tunggal-berniaga

Published: July 30, 2012

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan medan perniagaan 'Laman Sejahtera' di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) bagi membolehkan golongan ibu tunggal menjana pendapatan menerusi perniagaan secara kecil-kecilan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, medan perniagaan itu bagi membolehkan golongan ibu tunggal berniaga di kawasan setempat sekali gus tidak terpisah dengan anak-anak mereka.

"Dengan adanya Laman Sejahtera itu secara tidak langsung golongan ibu tunggal boleh menjual kuih-muih dan sebagainya dari pukul 3 petang hingga 6 petang setiap hari tanpa perlu berjauhan dengan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Nur Ramadhan II kepada penduduk PPR Intan Baiduri, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulieman; Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Mohd. Alim Ibrahim.

Sebanyak 162 penduduk terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal menerima sumbangan duit raya, makanan, beras dan kain pada program tersebut.

Dalam perkembangan lain, menurut Ahmad Phesal, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam memastikan semua PPR dan perumahan awam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kebersihan yang ditetapkan.

Katanya, PPR dan perumahan awam yang mencapai standard kebersihan ditetapkan akan diberikan ganjaran sebanyak RM20,000 yang boleh digunakan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti di kalangan penduduknya.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu memastikan kawasan kediaman di Kuala Lumpur menjadi lebih tersusun dan kualiti hidup masyarakatnya juga bertambah baik," katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Rosnani Arifin, 51, bersyukur dengan sumbangan yang diterima dan akan menggunakannya dengan sebaiknya bagi meraikan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sumbangan duit, kain dan beras ini sememangnya bermakna buat golongan ibu tunggal seperti saya kerana dapat membantu meringankan beban menjelang sambutan Aidilfitri ini," katanya.

No comments: