Wednesday, July 11, 2012

799 peniaga jual lesen premis perniagaan dikena tindakan

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/799-peniaga-jual-lesen-premis-perniagaan-dikena-tindakan-1.65564

Published: July 11, 2012

KUALA LUMPUR - Sejumlah 799 peniaga, yang dikenal pasti menjual ataupun menyewakan lesen premis perniagaan kepada warga asing bagi tempoh 1 Jan 2011 sehingga 31 Okt tahun lepas, telah dikenakan tindakan.
  
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata daripada jumlah itu, 47 peniaga diberi amaran, 570 dikompaun, 155 didenda dan 27 peniaga dibatalkan lesen peniagaan.  
  
Beliau berkata lesen penjaja dan peniaga kecil hanya diberi kepada rakyat Malaysia untuk berniaga di pasar malam, pasar tani, pasar awam mahupun ruang niaga kecil di pasar raya.
  
"Warga asing tidak dibenarkan memohon lesen penjaja tetapi jika terdapat warga asing menjaja, ini berpunca daripada (perbuatan) segelintir pemilik lesen warga tempatan yang menjual atau menyewakan lesen mereka kepada warga asing," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Abdul Rahim Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara hari ini.
  
Abdul Rahim ingin tahu tindakan yang diambil bagi menangani masalah kewujudan peniaga rakyat asing yang berniaga di premis perniagaan dan pasar borong tanpa lesen.
  
Chor berkata PBT telah diminta meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap peniaga tempatan yang melakukan kesalahan menyewa atau menjual lesen kepada rakyat asing. - Bernama

No comments: