Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: July 27, 2012
JOHOR BAHRU 26 Julai - Sebanyak 23,000 pengusaha perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) telah membangunkan laman sesawang dan memulakan
perniagaan dalam talian masing-masing melalui program Google Malaysia,
Get Malaysian Business Online (GMBO) sejak ia dilancarkan pada November
tahun lalu.
Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof
berkata, pihaknya yakin jumlah tersebut akan terus meningkat dan
mencapai sasaran 50,000 PKS menjelang hujung tahun ini.
''Sasaran itu berdasarkan segmen promosi dan bengkel secara percuma
yang dijalankan oleh Google Malaysia di seluruh negara meliputi
negeri-negeri di pantai timur, utara, Sabah dan Sarawak.
''Program GMBO ini juga telah mengembangkan lagi perniagaan pengusaha
PKS yang terlibat secara lebih meluas, sekali gus meningkatkan hasil
jualan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
bengkel GMBO yang turut dihadiri 35 pengusaha PKS di sini hari ini.
GMBO merupakan jalinan kerjasama antara Google Malaysia dengan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM); badan alamat laman
sesawang, .my Domain Registry dan pusat latihan ITrain (M) Sdn. Bhd.
(ITrain) bertujuan membantu pengusaha PKS di negara ini membawa
perniagaan mereka ke dalam dunia Internet.
Menurut Zeffri, berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh SME
Corporation (SMECorp.), daripada lebih 700,000 PKS di negara ini, hanya
100,000 usahawan yang mempunyai laman sesawang sendiri.
Katanya, Google juga telah melabur sebanyak RM10 juta untuk program
berkenaan sepanjang tahun ini termasuk memberi pengiklanan secara
percuma kepada ahli-ahli GMBO.
"Kami percaya bahawa Internet mampu membantu sesebuah perniagaan
untuk terus berkembang maju dan membantu pelanggan mendapatkan informasi
dengan lebih pantas," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment