Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm
Published: July 16, 2012
KUALA LUMPUR 15 Julai - Singapura dan Indonesia yang menghantar wakil
peniaga francaisnya ke Francais Antarabangsa Malaysia 2012 (FIM 2012),
memuji peranan kerajaan negara ini yang komited memperkembangkan
industri francais tempatan.
Wakil Singapura dan Indonesia mengakui timbul perasaan iri hati
apabila FIM 2012 mendapat sokongan penuh menteri-menteri di Malaysia.
Pengerusi Persatuan Francais Indonesia, Anang Sukandar berkata,
beliau menyertai FIM sejak 18 penganjuran yang lalu, mendapati menteri
negara ini tidak pernah gagal memberikan sokongan.
"FIM dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
ketika masih mengetuai kerajaan kerana mahu menjadikan Malaysia sebagai
pusat francais serantau.
"Semangat itu kini diteruskan oleh kementerian yang bertanggungjawab," kata beliau kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran FIM 2012 di sini, baru-baru ini.
Menurut Anang, situasi itu cukup berbeza di Indonesia kerana kerajaan
negara itu kurang memberi perhatian kepada industri francais.
Malah, katanya, usaha untuk menjemput menteri bagi menyertai sebarang aktiviti berkaitan francais juga amat sukar.
"Di Indonesia, kami harus mencari pasaran sendiri. Untuk menyertai
pameran di luar negara, kami terpaksa menggunakan duit poket sendiri,"
kata Anang.
Beliau turut memuji kesungguhan Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri yang beberapa kali mengunjungi
Indonesia bagi mencari peluang pasaran kepada francais Malaysia.
Perkara yang sama turut diakui oleh wakil francais Singapura, Albert
Kong sambil menyifatkan komitmen menteri dan penambahbaikan dalam
industri itu merupakan sokongan moral oleh kerajaan.
Katanya, usaha kerajaan Malaysia menawarkan sistem pinjaman mikro
kepada usahawan yang berminat untuk menceburi industri francais,
dipandang tinggi kerana ia tidak dilakukan oleh semua negara.
"Malaysia memiliki tanah yang lebih luas serta banyak sumber serta
pengurusan yang efisien mampu menjadikan negara ini pusat francais
serantau," katanya.
No comments:
Post a Comment