Tuesday, July 10, 2012

Pelan Induk PKS akan diperkenal

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: on 10 July 2012

KUALA LUMPUR 9 Julai - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara bakal mengalami transformasi memberangsangkan dengan pengenalan Pelan Induk PKS pada 12 Julai ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pengenalan pelan induk itu selari dengan hasrat kerajaan meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 41 peratus pada 2020.

"Pengenalan pelan induk itu akan memberi fokus dan arah kepada PKS negara pada masa hadapan terutama pada 2020.

"Ia juga membantu meletakkan PKS negara di kedudukan terbaik dalam peta PKS dunia," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Anugerah Pengiktiraf PKS 2012 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKI) Malaysia, Teh Kee Sin.

Tambah Mukhriz, pelan induk itu juga bakal memperkenalkan pelbagai perkara menarik dan tidak hanya tertumpu kepada insentif atau pembiayaan sahaja.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kedudukan PKS yang terjejas ekoran pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit, Mukhriz berkata, PKS perlu pandai melindung nilai perjanjian yang dilakukan bagi mengelakkan sebarang kerugian.

"PKS perlu sentiasa bersedia untuk membuat sebarang perubahan dalam memastikan perniagaan mereka tidak mengalami sebarang kerugian terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu,'' jelasnya.

Terdahulu, Mukhriz telah melancarkan Anugerah Pengiktirafan PKS 2012 yang masuk tahun ke-11 pada tahun ini dengan 16 kategori dipertandingkan.

Tema anugerah pada tahun ini adalah Transformasi - Era Baru.

Pencalonan anugerah itu dibuka pada tahun ini dan tarikh tutup adalah pada 15 September dengan keputusan penerima anugerah akan dibuat pada Disember tahun ini.

No comments: