Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/laman-sejahtera-akan-dibina-beri-ruang-ibu-tunggal-berniaga-1.71191
Published: July 29, 2012
KUALA LUMPUR - Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib akan
mencadangkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar (KWPKB) agar membina Laman Sejahtera bagi memberi ruang kepada
ibu tunggal berniaga.
Beliau berkata Laman Sejahtera itu dicadangkan dibina di kawasan
Perumahan Penduduk Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) dengan
peruntukan RM5 juta disediakan kerajaan untuk warga PPR dan PA yang
berpendapatan rendah memulakan perniagaan berkonsep kiosk.
"Saya akan mencadangkan kepada KWPKB untuk menggunakan lebihan
peruntukan bagi membina Laman Sejahtera ini dan yang pertama akan dibina
di kawasan Lembah Pantai," katanya pada sidang media selepas Program
Nur Ramadan II di Kepong di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul
Rahman dan Presiden Rumah Amal Cheshire Datin Paduka Khatijah
Sulaiman@Sulieman.
"Apabila diluluskan kelak, tapak Laman Sejahtera akan dibangunkan di
kawasan terbabit dan kita akan pastikan ibu tunggal dapat memulakan
perniagaan bagi menambah pendapatan mereka," katanya.
Ahmad Phesal turut mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan
mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebersihan di PPR serta PA
bagi memastikan penghuni kawasan tersebut meningkatkan tahap kebersihan.
"Ini bukan pertandingan kerana kita akan menetapkan standard serta
kriteria yang perlu diikuti setiap PPR dan PA untuk mencapai KPI
tersebut," katanya.
Beliau berkata KPI Kebersihan akan dijadikan program tahunan kerana
KWPKB memperuntukkan RM1 juta kepada PPR serta PA bagi menjayakan
program ini.
Katanya KPI Kebersihan ini akan dinilai oleh pasukan penilai yang
dilantik dan pemenang akan menerima wang tunai RM20,000 sebagai geran
aktiviti kawasan terlibat.
Ahmad Phesal berharap melalui program itu, penduduk PPR serta PA akan
lebih menitikberatkan soal kebersihan serta sentiasa memastikan kualiti
kehidupan yang lebih baik.
Terdahulu, Noorainee menyampaikan sumbangan kepada 172 penduduk PPR
Intan Baiduri yang terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya
(OKU), ibu tunggal serta warga emas.
Sumbangan berupa hamper, beras, pakaian serta duit raya disumbang oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.
Warga emas, M. Krishnan, 75, merasa amat bersyukur serta berterima
kasih kepada penyumbang yang sudi memberi sumbangan kepadanya dan
penduduk lain yang kurang bernasib baik.
"Terima kasih sebab ada pihak yang mengambil berat keadaan kami yang susah ini," katanya.
Rosnani Ariffin, 51, seorang ibu tunggal melahirkan rasa syukur dengan
bantuan yang diterima serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada
Noorinee kerana sudi hadir menyampaikan sumbangan tersebut.
"Rasa gembira dapat sumbangan dan berjumpa isteri TPM (Timbalan Perdana
Menteri)," kata ibu kepada empat orang anak itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment