Monday, July 29, 2013

Uswa bantu usahawan wanita Pagoh

PAGOH 27 Julai - Persatuan Usahawan Wanita Pagoh (Uswa) yang dilancarkan semalam bertujuan membantu lebih 1,000 ahlinya termasuk dalam kalangan ibu tunggal merebut peluang ekonomi selain meningkatkan pendapatan mereka.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130728/wj_03/Uswa-bantu-usahawan-wanita-Pagoh
Published: July 29, 2013

Presiden Uswa, Datuk Yusof Abu Bakar berkata, kesemua ahli Uswa yang sebelum ini berdaftar dengan beberapa persatuan kecil digabungkan supaya mereka dapat dibantu dan aktiviti perniagaan masing-masing dikembangkan.

"Kebanyakan mereka sebelum ini menghasilkan produk industri kecil dan sederhana (IKS), antaranya menghasilkan kuih- muih, pakaian dan tudung. Menerusi Uswa kita mahu bantu mereka menjadi usahawan yang berdaya saing.

"Kita akan beri khidmat dan bantuan seperti nasihat dan tunjuk ajar. Bagi yang sudah lama berniaga, kita jadikan mereka mentor kepada yang baharu dan turut bantu tambah pendapatan manakala yang baru berniaga kita akan bimbing mereka," katanya semasa melancarkan persatuan itu dan majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa bersama 320 anak yatim dan 120 ibu tunggal dari Parlimen Pagoh di Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Pasir, dekat sini.

Dalam majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharuddin Md. Salleh menyampaikan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Uswa sambil disaksikan Presiden Uswa, Manilah Mahmood.

Peruntukan itu digunakan untuk membeli kelengkapan bengkel persatuan tersebut yang akan ditempatkan berdekatan Pusat Bimbingan Usahawan Pagoh.

Yusof berkata, Uswa akan menyusun program latihan dan aktiviti untuk ahlinya selepas ini termasuk melibatkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan bank-bank komersial.

No comments: