Friday, July 19, 2013

RBNA Food Tingkat Pengeluaran Kuih Tradisional Menjelang Ramadan Dan Sawal

KUALA TERENGGANU, 18 Julai (Bernama) -- R.B.N.A. Food Enterprise, syarikat pengeluaran kuih-muih tradisional Terengganu, kini menambah pengeluarannya bagi menampung permintaan orang ramai sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=964339
Published: July 19, 2013

Pengurusnya, Rokiah Mohamed berkata syarikat itu banyak menerima tempahan untuk kuih-muih seperti baulu, mini karipap, agar-agar kering, apit-apit dan popia.

"Alhamdulillah, pada bulan Ramadan ini, perniagaan saya agak baik dan ramai orang membuat tempahan kuih untuk persiapan menyambut Hari Raya," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, Rokiah, 56, yang mewarisi perniagaan keluarga, turut menjual kuih-kuih manis seperti akak dan penganan untuk pengantin.

"Kita juga menjual akak dan penganan panas di pasar tani Padang Hiliran, yang diuruskan oleh anak saya, dan sambutannya sangat menggalakkan," katanya.

Rokiah berkata beliau melabur kira-kira RM200,000 untuk memulakan perniagaan itu pada 2001, dengan sebahagian besar bantuan diperoleh daripada Jabatan Pertanian.

"Jabatan Pertanian membina bengkel serta alat-alat untuk membuat kuih-muih dan selebihnya wang daripada poket sendiri untuk memulakan perniagaan," katanya.

Rokiah berkata Ramadan ini beliau mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sehari.

Menurutnya beliau mendapat sokongan penuh daripada anak dan menantunya untuk menyedia dan membakar kuih-muih berkenaan.

Rokiah boleh dihubungi di talian 019-928 0221 atau 09-623 7727.

-- BERNAMA 

No comments: