Friday, July 26, 2013

Kraftangan Malaysia Sasar Jualan RM2.5 Juta Pada Promosi Kraf Aidilfitri 2013

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan bernilai RM2.5 juta semasa Promosi Kraf Aidilfitri ke-9 tahun ini. Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Mohd Kamil Mohd Ali berkata berdasarkan sambutan memberangsangkan sejak 2003 dengan jualan tahun lepas mencecah RM2.159 juta, sasaran itu mampu dicapai.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=966195
Published: July 26, 2013

"Kita mempunyai 180 usahawan kraf dan produk serta perkhidmatan yang menawarkan pelbagai keperluan hari raya berbanding 169 usahawan tahun lepas.

"Kita juga mahu menggalakkan masyarakat mengindahkan sambutan dengan terus menggunakan produk-produk kraf tempatan di samping mempopularkan Kompleks Kraf di sini sebagai destinasi membeli-belah keperluan Aidilfitri," katanya pada sidang media Promosi Kraf Aidilfitri 2013 di Kompleks Kraf di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia Ramli Mohd Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Shahrudin Mohd Nor.

Antara kraf dan produk yang dijual pada promosi itu ialah pakaian, dekorasi, kuih raya, khidmat tempahan makanan, video dan fotografi serta rawatan di butik kecantikan.

Promosi dari 24 Julai hingga 3 Ogos depan itu bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, Demonstrasi Kraf dan Masakan Kuih Tradisional yang mengetengahkan 11 usahawan sulaman manik, songkok, gubahan bunga, capal, dan keronsang serta sajian ketupat palas, bahulu, semperit, batang buruk dan rempeyek juga akan diadakan.

Mohd Kamil berkata jualan paling laris dicatatkan pada promosi sebelum ini ialah tekstil batik dan songket yang menyumbang 40 peratus terhadap jualan keseluruhan.

Dalam pada itu, orang ramai turut dialu-alukan untuk menyertai Pertandingan Ketuk-ketuk Kuali sempena promosi kali ini.

Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Memasak Bubur Lambuk dan Serunding (27 Julai), Memasak Dodol (28 Julai) dan Memasak Ketupat Palas dan Rendang Daging (3 Ogos) yang akan bermula dari pukul 2 hingga 6 petang di mana borang penyertaan boleh dimuat turun di laman sesawang www.kraftangan.gov.my.

-- BERNAMA 

No comments: