Friday, July 19, 2013

Lebih 4,300 Usahawan Wanita Dilahirkan Tahun Lepas - Azizah

MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Lebih 4,300 usahawan wanita dilahirkan tahun lepas, melepasi sasaran 4,000 melalui agenda memperkasa wanita dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=964194
Published: July 19, 2013

Katanya wanita merupakan golongan yang paling terdedah kepada kemiskinan dan paling terjejas akibat kesan daripada masalah ekonomi dan dengan itu kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap usaha menangani kemiskinan di kalangan wanita.

Antara usaha yang dilakukan ialah dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan, katanya pada Majlis Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pelajar Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri Melaka Datuk Latipah Omar.

"Putaran kemiskinan yang dihadapi sesebuah keluarga sekiranya tidak dibendung dan dihentikan akan mendatangkan kesan negatif yang terus kepada rakyat terutamanya kepada wanita seperti masalah sosial, keruntuhan institusi keluarga dan peningkatan kadar jenayah," katanya.

Azizah berkata kemajuan pesat dalam pembangunan wanita tidak mungkin dapat menjadi kenyataan pada masa ini sekiranya kerajaan tidak menyedari wanita merupakan kuasa utama mempengaruhi pembangunan generasi akan datang.

"Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan kejayaan wanita dalam menjana kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara juga merupakan hasil daripada peranan yang dimainkan secara aktif oleh wanita," katanya.

Majlis itu juga menyaksikan penyampaian bantuan 1Azam kepada 18 penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM90,000 dan penyampaian peruntukan Karisma Ramadan berjumlah RM30,000 kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Melaka.

-- BERNAMA

No comments: