Wednesday, July 3, 2013

Cradle Mahu Tarik Rakan Kongsi Sokong JWEF Malaysia

PETALING JAYA, 2 Julai (Bernama) -- Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, akan menarik rakan kongsi utama dalam dua tahun akan datang untuk membantu menyokong Junior World Entrepreneurship Forum (JWEF) Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=960349
Published: July 03, 2013

"Kita mahu Malaysia menjadi platform global baharu bagi usahawan muda," katanya selepas pelancaran forum itu yang menyaksikan Cradle menjadi rakan kongsi kepada Inti International University and Colleges (INTI).

JWEF yang diwujudkan sebagai lanjutan kepada World Entrepreneurship Forum, yang dilancarkan pada 2008 oleh Emylon Business School dan KPMG itu ialah sebuah komuniti pelajar dan usahawan muda dunia.

Cradle dan Inti berhasrat menyebarkan semangat keusahawanan dalam semua lapisan masyarakat dan mewujudkan satu platform bagi pelajar dan orang muda untuk menemui usahawan, usahawan sosial dan ahli akademik untuk berkongsi kisah kejayaan mereka.

Nazrin berkata warga muda Malaysia sama berbakat seperti orang mudah di negara-negara jiran, dan masa yang sesuai untuk membentuk mereka menjadi usahawan ialah apabila mereka berusia di antara 18 dan 30 tahun, ketika mereka masih di universiti atau kolej.

"Mereka tidak lagi akan merasa rendah diri dan akan menjadi sama baiknya atau lebih baik daripada orang lain," katanya, sambil menambah bahawa keusahawanan boleh menyelesaikan masalah graduan menganggur di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Inti, Amit Sevak, berkata mulai Januari tahun depan, pelajar-pelajar Inti perlu mengambil kursus keusahawanan.

"Kami percaya pada akhir pengajian mereka, pelajar-pelajar ini akan mendapat pendedahan kepada kemahiran keusahawanan, selain berpengetahuan dalam bidang masing-masing," tegas beliau.

Beliau juga mengumumkan pelancaran kampus baharu Inti di Kuala Lumpur pada 9 Julai dengan pengambilan pelajar baharu bulan depan. Kampus yang menawarkan program-program berkaitan perniagaan itu boleh menampung 2,000 pelajar.

-- BERNAMA

No comments: