Wednesday, July 3, 2013

Lulusan IPT digalak ceburi perniagaan

PERMATANG PAUH 2 Julai - Golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini digalakkan menceburi bidang perniagaan supaya dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan tidak berharap kepada kerjaya makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian nanti.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130703/wu_05/Lulusan-IPT-digalak-ceburi-perniagaan
Published: July 03, 2013



Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang, Muhammad Farid Saad (gambar) berkata, pelajar perlu berfikir secara kreatif dan berani mengambil risiko untuk menceburi bidang perniagaan.

"Pelajar bukan lulusan perniagaan tidak perlu risau kerana mereka juga boleh menjalankan perniagaan sekiranya mereka mempunyai minat dan tekad untuk menjana pendapatan yang lebih baik.

"Kita mahu amalkan konsep satu keluarga satu usahawan di Pulau Pinang supaya aktiviti perniagaan menjadi satu pekerjaan tradisi dalam sesebuah institusi kekeluargaan ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Perdagangan sempena Minggu Perusahaan Kecil Sederhana 2013 di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin.

Menurutnya, pelajar yang baharu menjalankan perniagaan juga diminta untuk berdaftar dengan agensi-agensi berkaitan dalam bidang keusahawanan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia).

Katanya lagi, usahawan perlu berdaftar dengan agensi berkenaan bagi memastikan mereka dapat diberi bimbingan dan bantuan untuk kemajuan perniagaan.

"Sebagai contoh, 400 usahawan bumiputera yang telah berdaftar sebagai usahawan bimbingan Perda telah dibantu dan diberikan peluang mengikuti setiap kursus dan program keusahawanan yang dianjurkannya.

"SME Corp. Malaysia juga menawarkan skim pinjaman mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana kepada 143 usahawan di Pulau Pinang dengan nilai pinjaman yang diluluskan sehingga kini berjumlah RM86 juta," ujarnya.

Tambah beliau, SME Corp. Malaysia juga telah meluluskan geran berjumlah RM104 juta kepada 2,857 usahawan, manakala 90 daripadanya menerima geran bernilai RM8.8 juta di bawah Program Peningkatan Usahawan Bumiputera sebagai memberi galakan kepada usahawan yang telah berjaya mengembangkan pasaran mereka.

No comments: