Thursday, July 18, 2013

Melindungi hasil produk inovatif

Di Malaysia pendaftaran paten semakin mendapat perhatian, khususnya golongan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Sebagai contoh tidak lama dulu sebuah syarikat mempatenkan sejenis tudung popular yang mempunyai rekaan unik dan menarik. Baru-baru ini juga media melaporkan Melaka bakal mempatenkan rekaan beca yang terdapat di negeri itu.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Melindungihasilprodukinovatif/Article/index_html
Published: July 18, 2013

Paten adalah sejenis hak harta intelek selain daripada cap dagang, hak cipta dan hak reka bentuk dagangan. Di Malaysia pemilik paten tidak perlu khuatir kerana mereka dilindungi berdasarkan Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan Paten 1986. Keistimewaan yang akan diberikan kepada pemilik paten ialah hak eksklusif selama 20 tahun bagi membolehkan sesuatu rekaan itu diguna dan dijual kepada pihak lain.

Jika timbul sebarang pelanggaran hak paten, maka pemiliknya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba meniru atau tidak mendapatkan kebenaran daripada pemilik sesuatu produk atau rekaan yang sudah dipatenkan itu.

Oleh itu, bagi golongan yang celik harta intelek mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menjadikan paten sebagai alat untuk menjana kekayaan.

Harta intelek berbeza daripada harta lain yang boleh nampak di depan mata seperti wang, kereta dan rumah kerana ia hasil penat lelah seorang individu atau organisasi korporat yang menghasilkan sesuatu produk kreatif serta boleh digunakan dalam industri.

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah bertaraf maju sememangnya tidak mahu ketinggalan menyertai arus perkembangan harta intelek yang menekankan penghasilan kekayaan berasaskan kreativiti dan pengetahuan.

Sungguhpun Malaysia mempunyai potensi cerah untuk menjadi peneraju hub harta intelek di rantau ini, namun bilangan paten yang didaftarkan rakyat tempatan masih kecil.

Statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menunjukkan saban tahun bilangan paten didaftarkan oleh warga asing agak tinggi berbanding permohonan dikemukakan oleh rakyat tempatan. Bagi tempoh sehingga Mei 2013, sejumlah 2,478 permohonan daripada pihak asing berbanding hanya 445 permohonan daripada warga tempatan.

Perbezaan ketara antara kedua-dua jenis permohonan paten ini menunjukkan tahap kesedaran harta intelek dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah. Walhal Malaysia sudah melancarkan Dasar Harta Intelek (DHIN) bagi menggalakkan kegiatan reka cipta yang inovatif bagi rakyatnya.

Tanpa kita sedari Malaysia sebenarnya sudah mempunyai ikon reka cipta sejak era DHIN belum dilancarkan lagi iaitu Zulkifli Haron atau lebih dikenali sebagai Zul. Mungkin ramai yang masih ingat sekitar pertengahan hingga penghujung 1980-an, Zul memperkenalkan pelbagai ciptaan canggih dan bersifat futuristik seperti Rumah Pintar dan Basikal Solar.

Kita bukan saja inginkan seorang Zul tetapi lebih ramai lagi insan yang kreatif dan inovatif seperti Zul. Jika Zul yang mendapat pendidikan di Institut Kemahiran Mara mampu mencetuskan faktor ‘wow’ dalam bidang inovasi negara, maka seharusnya dengan keadaan sekarang lebih ramai graduan yang keluar daripada pelbagai IPT sepatutnya mampu menghasilkan produk berkualiti dan boleh dipatenkan agar Malaysia boleh berdaya saing di pasaran global. Antara usaha bagi merancakkan lagi penghasilan produk inovatif adalah dengan memastikan wujudnya mekanisme pasaran mengutamakan rekaan tempatan. Perkara ini bertepatan dengan saranan terkandung dalam Model Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010 yang mengesyorkan pihak kerajaan dan GLC menyokong produk dan perkhidmatan tempatan yang inovatif dalam proses dilaksanakan oleh kedua-dua entiti berkenaan.

Jika syor oleh MEB ini berjaya direalisasikan, ia bukan saja akan membuka peluang kepada pereka inovatif tempatan memasarkan produk mereka bahkan akan membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan selaras dengan konsep nilai bagi setiap sen yang dibelanjakan.

Andainya masih terdapat pihak meragui kualiti produk inovatif tempatan, maka satu mekanisme kawalan kualiti perlu diwujudkan. Peranan ini boleh dimainkan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan merangka satu standard penilaian tahap kualiti produk tempatan.

Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Multimedia

No comments: