Thursday, July 11, 2013

Lambakan songket India ancam tenunan Terengganu

KUALA TERENGGANU 10 Julai - Kerajaan negeri kecewa dengan sikap tamak dalam kalangan segelintir peniaga songket yang 'membunuh' masa depan industri warisan itu dengan membawa masuk lambakan songket India untuk mencari keuntungan begitu besar dalam cara paling mudah.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130711/wt_04/Lambakan-songket-India-ancam-tenunan-Terengganu
Published: July 11, 2013

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mereka tidak mempedulikan kesan jangka panjang daripada tindakan menawarkan songket import yang diberi gambaran sebagai tenunan asli Terengganu kepada pelanggan.

Katanya, tindakan peniaga terbabit bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu yang sudah terkenal di serata dunia, malah mengakibatkan warisan yang memancarkan ketinggian seni tekstil itu gagal dipertahankan.

"Sejak dulu lagi songket Terengganu merupakan hasil tenunan negeri ini yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan kehalusan seni tenunan dan berada dalam kelasnya tersendiri.

"Namun, sikap tamak peniaga songket itu sendiri yang ingin menjual benda murah dengan harga mahal telah menyebabkan mereka sanggup membawa masuk songket India," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Ahmad mengulas keluhan para peniaga dan penenun songket Terengganu ekoran perniagaan yang makin merosot dan bimbang kemungkinan gulung tikar jika lambakan songket dari India terus dibiarkan berleluasa.

Menteri Besar mengambil contoh seorang individu ternama di negeri ini yang tidak pengalaman tentang songket Terengganu terbeli 'songket tiruan' berharga RM800 sehelai.

"Bagi beliau (pembeli) soal harga bukanlah menjadi persoalan tetapi sikap tidak memaklumkan perkara sebenar sesuatu yang amat dikesali.

"Jika Terengganu mahu kekal sebagai negeri pengeluar utama songket negara yang dikagumi dengan harga berpatutan, sepatutnya peniaga tidak membeli dan menawarkan songket dari India," katanya.

Ahmad berkata, kerajaan negeri tiada hak menguatkuasakan sebarang tindakan menghalang kemasukan songket berkenaan.

''Bagaimanapun sebagai peniaga yang mempunyai hati dan perasaan, mereka harus berusaha memartabatkan songket tempatan sebagai satu perniagaan yang eksklusif di Terengganu," ujar beliau.

No comments: