Tuesday, July 30, 2013

FAMA ambil pelbagai pendekatan perluaskan pasaran produk

JASIN 29 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengambil pelbagai pendekatan dalam memperkenal serta memperluaskan produk makanan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130730/ws_03/FAMA-ambil-pelbagai-pendekatan-perluaskan-pasaran-produk
Published: July 30, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, kemampuan itu berjaya dibuktikan melalui penglibatan usahawan di bawah bimbingan agensi berkenaan yang dilaksanakan dengan penganjuran karnival, ekspo, pesta dan lain-lain aktiviti promosi.

Katanya, usaha yang diterapkan FAMA terhadap usahawannya mampu menjadi pilihan dalam kalangan pengusaha lain dan sewajarnya menjadi ikon dalam melahirkan lebih ramai usahawan.

"Menerusi program ini, usahawan mendapat pendedahan selain meningkatkan kefahaman mereka berkaitan kehendak pasaran dari segi permintaan dan trend pasaran di samping meningkatkan jaringan perniagaan dan meluaskan pasaran baru sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan.

"Jika kita dapat wujudkan rangkaian yang lebih besar terhadap pendekatan yang dilakukan ia dilihat mampu menguasai pasaran dalam dan luar negara yang secara langsung akan memberi pulangan yang baik kepada para usahawan di bawah FAMA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Penganjuran Pusat Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) makanan sempena Aidilfitri 2013 di AgroBazar K-Shoppe, Hamidah Food Industries, Umbai di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan.

Hasan berkata, di pusat jualan produk IAT itu, pihak FAMA telah menyediakan ruang perniagaan berserta kemudahan yang diperlukan meliputi publisiti serta keperluan asas gerai.

"Usahawan pula menyediakan produk seterusnya menjalankan aktiviti promosi dan jualan terus di lokasi berkenaan seterusnya memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan bekalan produk makanan serta juadah untuk Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, Mohd. Nawi berkata, jualan Bazar K-Shoppe Fama Melaka tahun lalu berjaya mencatat nilai RM4.47 juta melibatkan enam usahawan menjalankan urusniaga pemborongan serta peruncitan produk proses keluaran IAT.

No comments: