Sunday, July 21, 2013

PKS Patut Gunakan Modal Sedia Ada Untuk Tingkatkan Produktiviti

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) patut menumpukan kepada model perniagaan dan strategi penggunaan modal sedia ada dengan lebih berkesan untuk meningkatkan produktiviti, kata Presiden Persatuan SMI Malaysia Teh Kee Sin.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=964681
Published: July 21, 2013

Beliau berkata dengan pengenalan gaji minimum yang dijangka dilaksanakan
awal tahun depan, PKS harus merangsang inovasi dan meningkatkan kemahiran tenaga
kerja.

PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia yang terdiri daripada 97.3
peratus perniagaan di seluruh negara daripada perkilangan kepada perkhidmatan
dan perladangan.

"Jika kita tidak bertindak segera dan dengan berkesan, persekitaran ekonomi
yang berubah akan mengurangkan margin keuntungan berikutan kos perkilangan yang
meningkat.

"Akibatnya, kita mungkin kehilangan daya saing dan terpaksa gulung tikar,"
katanya kepada satu sidang media untuk mengumumkan Anugerah Pengiktirafan
PKS(Smera).

Penamaan anugerah kini dibuka dan akan ditutup pada 15 Sept, 2013 dan
penyampaian anugerah dijadualkan pada 13 Disember tahun ini.

Tahun ini, 89 anugerah dalam 17 kategori akan disampaikan kepada PKS
cemerlang di Malaysia berdasarkan kekukuhan daya saing mereka.

Teh berkata Smera akan menjadi wadah bagi pemenang untuk disenaraikan di
Bursa Malaysia berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang.

Setakat ini, kira-kira 30 syarikat yang pernah mendapat anugerah Smera
tersenarai di Bursa Malaysia.

"Anugerah ini membantu meningkatkan imej jenama pemenang, memberikan mereka
publisiti, pengiktirafan daripada bank-bank dan memudahkan akses kepada fasiliti
pembiayaan," tambah Teh.

-- BERNAMA

No comments: