Thursday, July 25, 2013

Basel III beri kesan pada PKS

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menjadi lebih mahal dan sukar untuk diperoleh dengan pelaksanaan Basel III, kata Ketua Pegawai Risiko Maybank Group, Dr John Lee.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130725/ko_01/Basel-III-beri-kesan-pada-PKS
Published: July 25, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=965821
Published: July 25, 2013

Beliau berkata dengan Basel III, bank-bank perlu mempunyai lebih banyak modal dan lebih kecairan dan ini akan meningkatkan kos.

"Perbincangan kini ialah mengenai kesan kos tambahan berkenaan dan sama ada ia seharusnya diserapkan oleh bank ataupun menyalurkannya kepada pengguna.

"Daripada perspektif Maybank, kami mahu pastikan yang kami akan terus mampu memberikan pinjaman kepada PKS dan memastikan aliran modal dan kredit ke beberapa pasaran ini masih ada," kata beliau kepada pemberita di luar acara Persidangan Perbankan ASLI 2013 di sini Rabu.

Lee berkata berikutan keperluan ketat di bawah Basel III, beberapa perniagaan mungkin mengalihkan sumber kredit mereka kepada segmen yang tidak terkawal perbankan kewangan.

"Inilah di mana sumber-sumber pembiayaan lain muncul kerana bank-bank terkawal mungkin terjejas oleh keperluan atau syarat Basel III, jadi mereka tidak mahu memberikan pinjaman kepada sektor tertentu.

"Tetapi sektor berkenaan masih mahu meminjam wang. Ia tidak boleh pinjam dari bank-bank berperaturan, jadi, mereka akan pergi ke institusi tidak terkawal," kata beliau.

Bagaimanapun, Lee berkata yang sektor perbankan Malaysia masih lagi sihat kerana kebanyakan bank telahpun tersedia patuh dengan syarat Basel III, walaupun sebelum Bank Negara Malaysia memperkenalkan keperluan Basel III.

"Bank-bank Malaysia sentiasa mempunyai modal yang sihat dan pengenalan Basel III tidak akan memberi impak signifikan kepada bank-bank tempatan," kata beliau.

Basel III merupakan standard kawal atur global yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Basel ke atas Penyeliaan Perbankan yang mengehendaki bank-bank mengadakan kenaikan 4.5 peratus daripada ekuiti biasa dan enam peratus daripada aset modal berwajaran risiko Tier-1.

-- BERNAMA

No comments: