Friday, July 19, 2013

Dua lagi bank dijangka ambil bahagian PARTNER 2

PERSATUAN Bank-Bank di Malaysia (ABM) menjangkakan dua lagi bank komersial akan mengambil bahagian dalam PARTNER 2, iaitu inisiatif yang dilancarkan bagi menambah baik proses dan prosedur permohonan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebelum akhir tahun ini.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DualagibankdijangkaambilbahagianPARTNER2/Article
Published: July 19, 2013

Pengarah Eksekutifnya, Chuah Mei Lin, berkata ketika ini 10 bank komersial mengambil bahagian dalam PARTNER 2 termasuk Malayan Banking Bhd (MAYBANK), CIMB Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan Alliance (M) Bhd.

Katanya, ABM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak bank terutama yang menjadi ahlinya dalam usaha memperluaskan penggunaan inisiatif berkenaan yang mula dilancarkan Isnin lalu.

“Kami menyasarkan untuk menarik lima hingga enam lagi bank yang menawarkan pinjaman kepada sektor PKS untuk menyertai PARTNER 2. Buat masa ini dua bank sudah menyatakan persetujuannya yang akan mula menggunakan inisiatif itu sebelum akhir tahun ini,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

PARTNER 2, adalah fasa kedua PARTNER iaitu inisiatif yang diperkenalkan ABM dan majoriti bank yang menjadi ahlinya dalam usaha memberikan kelancaran kepada segala urusan permohonan pinjaman sektor PKS.

Chuah berkata, ketika ini, tiga bank iaitu Affin Bank, AmBank dan Public Bank sudah memulakan penggunaan inisiatif itu sejak Isnin lalu dan setakat ini menerima maklum balas yang positif daripada peminjam PKS.

Katanya, berkata syarikat tempatan kini akan dapat mengetahui sebab serta kewajaran permohonan pinjaman mereka tidak boleh dipertimbangkan oleh bank komersial yang mengambil bahagian melalui PARTNER 2.
“Untuk memenuhi permintaan mereka, bank yang mengambil bahagian kini menggunakan templat yang menetapkan senarai semak yang mengenal pasti dengan jelas perkara yang gagal dipenuhi oleh pemohon.

“Diharapkan, pemohon yang tidak berjaya mendapatkan pinjaman akan mengetahui apa yang kurangnya dalam permohonan mereka dan berusaha untuk lebih bersedia dalam permohonan mereka yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, senarai semak yang akan digunakan oleh bank akan meliputi sebab yang meluas seperti kelemahan rancangan perniagaan, kecukupan cagaran atau kolateral, kelulusan sokongan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), rekod kewangan dan sejarah kredit syarikat.

No comments: