Sunday, July 7, 2013

PKNNS bangun projek Dataran Usahawan bernilai RM6.5 juta

SEREMBAN 5 Julai - Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) bakal membangunkan projek pembinaan Dataran Usahawan dengan kos bernilai RM6.5 juta yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130706/ws_02/PKNNS-bangun-projek-Dataran-Usahawan-bernilai-RM65-juta
Published: July 08, 2013


     Mohd. Yusof

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd. Yusof Yunus berkata, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan bagi menyediakan sebuah lokasi kondusif kepada orang ramai untuk membeli-belah barangan berjenama premium di negeri ini.

"Dataran ini akan menempatkan ruang niaga kepada usahawan yang menawarkan barangan berjenama kepada pembeli yang kita sasarkan daripada golongan pertengahan sehingga berpendapatan tinggi.

"Kita yakin dataran ini akan menjadi sebagai salah satu daya tarikan orang ramai ke negeri ini yang bakal dikunjungi bukan sahaja pengunjung dari dalam malah dari luar negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat PKNNS di sini hari ini.

Jelas Mohd. Yusof, pembinaan dataran tersebut akan menawarkan alternatif kepada penduduk negeri ini untuk mendapatkan barangan berjenama yang sebelum ini lebih gemar untuk membelinya di Lembah Klang.

"Ini bermakna pusat ini mampu menawarkan kepelbagaian barangan jenama yang sememangnya diakui amat terhad penawarannya di sekitar negeri ini.

"Sebelum ini mereka (penggemar barangan berjenama) di negeri ini terpaksa ke Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang bagi mendapatkannya terutama terhadap barangan berjenama keluaran terkini termasuk edisi terhad," ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung dataran berkenaan, beliau memberitahu, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar itu bakal menempatkan sebanyak 22 ruang niaga kepada usahawan tempatan.

"Projek yang dijalankan melalui peruntukan Kementerian Kewangan bermula bulan ini dan dijangkakan siap dalam tempoh 15 bulan.

"Selain ruang niaga, dataran ini turut dilengkapi dengan ruang tempat letak kereta yang kondusif dan kawasan yang luas untuk pengunjung bersantai," katanya.

Tambah beliau lagi, upacara perasmian pecah tanah tapak projek tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Seremban 2 esok.

No comments: