Wednesday, July 24, 2013

Persatuan Ngo Mahu Hanya Kontraktor Projek Besar Dibenar Memasuki Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu mencadangkan kontraktor asing hanya dipertimbang untuk projek pembinaan bernilai RM1 bilion ke atas.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=965472
Published: July 23, 2013

"Penglibatan syarikat asing dalam projek bernilai bawah RM1 bilion akan menjejaskan kontraktor, pembekal, pengilang dan kumpulan profesional pembinaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Peluang mereka akan menjadi tipis apabila projek yang berskala kecil turut direbut kontraktor asing," kata Presidennya Mohsen Hasbollah pada sidang akhbar Selasa.

Mohsen menyuarakan kebimbangan gabungan itu terhadap Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang didakwa boleh menjejaskan kontraktor tempatan sekiranya kontraktor dari negara maju dibenarkan bersaing untuk kontrak pembinaan secara bebas dan tanpa sebarang sekatan.

Katanya apabila berlaku perebutan projek pembinaan yang melibatkan PKS, ia akan menutup pintu rezeki syarikat tempatan dan membuka akses perniagaan kepada entiti asing.

Beliau turut mencadangkan supaya kontraktor asing hanya terlibat dalam projek besar di Malaysia, yang dapat memberi pembaharuan serta pendedahan baharu dalam bidang pembinaan, dari segi teknologi, dibenarkan memasuki pasaran Malaysia.

"Kita mahu kontraktor-kontraktor tanah air mengenal pasti kemajuan teknologi yang diperkenalkan syarikat luar negara serta mengaplikasikan dalam projek mereka di sini," katanya.

Antara negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Singapura, Kanada dan New Zealand.

-- BERNAMA

No comments: