Friday, June 28, 2013

YES anjur Pesona Hijabi

Kuala Lumpur: Persatuan Usahawan Muda Malaysia (YES Malaysia) akan menganjurkan program Pesona Hijabi bagi membantu mempelbagaikan ilmu dan skil yang diperlukan usahawan muda yang baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan online bercirikan Muslimah pada 30 Jun ini.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/YESanjurPesonaHijabi/Article/index_html
Published: Jun 28, 2013

Setiausaha Agungnya, Aiezatt Ahmad@Salim berkata selain menyediakan gerai pameran pakaian dan aksesori Muslimah, program sehari itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk Pameran dan Peragaan Fesyen Hijab (Mofas’13 Hijabista), Seminar Penampilan Imej Seri Pesona Anggun serta Forum Usahawan Hijab Online.

“Melihat kepada trend perniagaan dan minat usahawan belia, kami mengambil inisiatif untuk membawakan program ini khusus kepada belia yang ingin mengetahui selok belok dalam perniagaan online bercirikan Muslimah dan pada masa sama meningkatkan imej penampilan diri selaku usahawan muda.

“Untuk seminar, kami menghimpunkan beberapa perunding imej profesional, personaliti dan ikon yang berpengalaman di dalam bidang penampilan diri Muslimah antaranya Heliza Helmi serta Personaliti program Tanyalah Ustazah, Dr Nadzirah Mohd,” katanya.

Sementara itu, personaliti dan ikon Muslimah, Heliza Helmi berkata program itu bersesuaian kepada semua wanita yang ingin tampil menarik dan pada masa sama mengekalkan ciri-ciri Muslimah.

“Eksklusif bersama saya dan perunding imej lain dalam seminar penampilan imej Muslimah, pelbagai ilmu dan penerangan mengenai imej, fesyen dan keusahawanan hijab secara online akan kami kongsi bersama peserta,” katanya.

Seramai 300 peserta berpeluang menghadiri program berkenaan dengan bayaran antara RM100 ke RM150 bertempat di Tingkat 10, Dewan Golden Chersonese, Maju Junction Kuala Lumpur bermula 9 pagi hingga 6 petang.

Maklumat lanjut berhubung program itu boleh layari laman web www.mofas.my.

No comments: